Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, pagi ini tmengutus sepucuk surat kepada semua Ahli Parlimen, menggesa mereka menyokong penubuhan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terbaru berkaitan pelantikan kehakiman.
Dalam surat tersebut, dia juga menggesa semua wakil rakyat supaya menyokong Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi hak asasi manusia, pilihan raya dan pembaharuan institusi untuk menyiasat skandal kehakiman yang sedang memuncak, termasuk memanggil Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan kenyataan kepada jawatankuasa tersebut.

Selain itu, bekas timbalan presiden PKR itu turut menggesa semua ahli Parlimen supaya menyokong agar pelantikan bagi mengisi kekosongan penting dalam badan kehakiman dibuat berdasarkan syor terdahulu daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
"Justeru, saya sekali lagi menyeru agar Yang Berhormat untuk turut bersama kami dalam menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usaha ini - sama ada melalui persetujuan penyataan sokongan yang dilampirkan bersama-sama surat ini, atau kenyataan awam, atau kehadiran dalam forum-forum berkaitan, atau tindakan susulan di parlimen," katanya dalam surat tersebut.
Beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah menerima surat Rafizi pagi ini. Namun begitu, mereka masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong langkah tersebut.
Tindakan ini muncul di tengah-tengah ketegangan yang memuncak berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan kehakiman serta dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan turut mencampuri urusan kehakiman.

Dalam suratnya, Rafizi meminta semua ahli Parlimen merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh dirinya bersama lapan lagi wakil rakyat PKR pada 7 Julai lalu.
Ketika itu, mereka membangkitkan empat kebimbangan iaitu bahawa kerajaan tidak bertindak dengan mengambil kira cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) terhadap pelantikan hakim (termasuk hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan). Ini sehingga menyebabkan kekosongan jawatan yang serius.
Turut dikemukakan adalah bahawa JAC, sebelum persaraan Tengku Maimun Tuan Mat, telah mencalonkan nama bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi perkara itu tidak diambil tindakan, sehingga membawa kepada kekosongan semasa.
Mereka juga mendedahkan bahawa JAC telah dipanggil pada hari Jumaat tanpa mematuhi peraturan notis 10 hari, untuk mencadangkan calon baharu bagi jawatan yang kosong.
JAC dalam satu mesyuarat sebelum ini, kata mereka juga telah memanggil seorang hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjawab dakwaan campur tangan kehakiman.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata bahawa Parlimen, sebagai cabang utama dalam sistem demokrasi berperlembagaan, mesti bersatu mempertahankan maruah institusi negara.
"Parlimen adalah sebuah institusi perundangan yang bebas dan berdaulat.
“Maka, menjadi tanggungjawab moral dan perlembagaan kita bersama untuk mempertahankan prinsip pengasingan kuasa; memastikan tiada tekanan politik atau campur tangan eksekutif dalam urusan pelantikan serta keputusan kehakiman; dan menegakkan mekanisme semak dan imbang yang telus demi menjaga keluhuran Perlembagaan dan kepentingan rakyat," kata Rafizi.
Tengku Maimun bersara sebagai ketua hakim negara pada 2 Julai, selepas dia tidak diberikan lanjutan perkhidmatan selama enam bulan.
Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, yang kini menjalani lanjutan perkhidmatan selama enam bulan sehingga November, dilantik memangku jawatan ketua hakim negara.

