PAS menafikan dakwaan bahawa sokongan parti itu terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman adalah bersyarat, seperti dilaporkan beberapa media baru-baru ini.
Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu menyokong penuh sebarang usaha termasuk penubuhan RCI yang bertujuan menyelesaikan kemelut kehakiman negara, sebagaimana dicadangkan oleh bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
“Tidak timbul isu bersyarat atau tidak dalam menyokong RCI ini. PAS menyokong apa jua usaha ke arah menyelesaikan kemelut pelantikan hakim yang sedang berlaku,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Jelas Ahmad Fadhli, apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini hanyalah jemputan terbuka kepada Rafizi dan rakan-rakan penyokong reformasi untuk turut serta dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
“Nak datang atau tidak, terpulanglah, tidak ada masalah. Soal media melaporkan perkara itu sebagai sokongan bersyarat merupakan satu bentuk salah faham oleh pihak media dan sepatutnya merujuk kepada tuan badan sendiri untuk mendapatkan kenyataan sebenar,” katanya.
Ahmad Fadhli juga secara sinis menyatakan bahawa cadangan penubuhan RCI tersebut “tidak akan ke mana-mana” selagi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, masih memegang jawatan.
“RCI ini tidak akan terlaksana dan tidak akan ke mana-mana selagi PMX tidak menjadi XPM. Itu sahaja,”katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim dilaporkan berkata parti itu sedia menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman jika bekas Menteri Ekonomi itu turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.
Menurut Tuan Ibrahim, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa dia benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.
Bagaimanapun kenyataan Tuan Ibrahim itu mendapat kecaman daripada Rafizi.
Malah, ahli Parlimen Pandan itu turut memberi peringatan kepada PAS agar tidak mengulangi kesilapan besar yang pernah dilakukannya ketika skandal 1MDB.
Katanya, kata dua yang diberikan PAS itu adalah tindakan “menunggang”.
Tegasnya, isu kebebasan kehakiman sepatutnya dilihat secara objektif dan bukan dijadikan alat politik.

