malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rubio tiba di KL, pertemuan dengan Lavrov sedang diusahakan
ADS

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio tiba di Subang Jaya pada Khamis bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Ini juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.

Delegasi AS mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang Jaya pada 7.39 pagi.

Mereka disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan dan Kuasa Usaha di Misi AS ke ASEAN Kate Rebholz.

Menurut Jabatan Negara AS, Rubio dijadual menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) yang berlangsung mulai Khamis.

Beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia sepanjang lawatan itu.

Kesemua Menteri Luar ASEAN hadir ke mesyuarat itu kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanannya manakala Menteri Luar Timor-Leste akan menjadi pemerhati.

ARF, yang merupakan komponen utama dalam rangka lebih luas AMM, menghimpunkan negara anggota ASEAN, rakan dialog serta rakan strategik lain seperti AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah, Jepun dan Australia.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM buat kali kelima tahun ini, selepas mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

AS memulakan hubungan rasmi dengan ASEAN pada 1977, satu dekad selepas penubuhan blok serantau itu.

Hubungan itu telah dipertingkat kepada Perkongsian Strategik pada 2015 dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

Sementara itu, agensi RIA Novosti melaporkan pertemuan antara Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dan Rubio di Kuala Lumpur sempena mesyuarat peringkat tinggi ASEAN sedang diusahakan.

“Saya sahkan pertemuan itu sedang dirundingkan,” kata jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova ketika menjawab pertanyaan berkaitan perkara itu.

Lavrov kini berada di Malaysia bagi menghadiri siri mesyuarat peringkat menteri yang berlangsung pada 10 dan 11 Julai.

Lavrov juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan bersama rakan sejawatnya dari negara-negara Asia di luar mesyuarat rasmi ASEAN, kata Zakharova.

Pertemuan antara Lavrov dan Rubio dijadualkan pada 10:00 GMT pada Khamis, berdasarkan jadual Jabatan Negara AS.

"6:00 petang waktu tempatan [10:00 GMT] Setiausaha Rubio bertemu dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Kuala Lumpur, Malaysia," memetik jadual itu.

Lavrov dijadual menyertai mesyuarat peringkat menteri luar dalam tiga format: Rusia-ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Forum Serantau ASEAN (ARF).

Sidang Kemuncak Asia Timur bukan sahaja disertai negara anggota ASEAN, tetapi turut melibatkan rakan dialog termasuk China, Rusia dan Amerika Syarikat.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dan kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Filipina.

Pada 2025, Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN untuk tempoh setahun secara bergilir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen