Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 kepada bekas mentor yang kini menjadi seteru politiknya, Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu hantaran di media sosial, perdana menteri berkata dia dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendoakan agar Mahathir dikurniakan kesihatan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
"Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.
"Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” katanya.
Pada tahun 1990-an, Anwar disebut-sebut sebagai pengganti Mahathir dan dijangka bakal mengambil alih kepimpinan negara.
Namun hubungan mereka retak sehingga membawa kepada pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri — yang seterusnya mencetuskan gerakan reformasi di Malaysia.
Kedua-dua tokoh itu sempat berdamai pada tahun 2016 dalam usaha menjatuhkan Najib Razak. Kerjasama itu berterusan selepas PH menumbangkan BN dalam pilihan raya umum 2018.
Namun, Mahathir gagal menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas kembali menjadi perdana menteri dan hubungan mereka sekali lagi retak selepas insiden "Langkah Sheraton" pada tahun 2020.
Sejak itu, Mahathir kembali menjadi pengkritik tegar Anwar.
Pun begitu, kerajaan pimpinan Anwar tetap meluluskan peruntukan sebanyak RM486,000 kepada Mahathir dan rombongannya bagi menghadiri persidangan tahunan Nikkei di Jepun pada Mei lalu.

