Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan solidariti dan komitmen untuk turut serta dalam Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang akan berlangsung pada Isnin hadapan.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz memaklumkan satu pertemuan akan diadakan bersama pihak penganjur bagi membincangkan aspek teknikal dan logistik perarakan tersebut.
“Insya-Allah kita sertai. Cuma mobilisasi dan gambaran perarakan kita belum dapat daripada mereka (penganjur),” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Perarakan anjuran Badan Peguam Malaysia itu akan bermula dari Istana Kehakiman dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Objektif utama untuk menyerahkan satu memorandum penting yang mengandungi tuntutan agar langkah segera diambil bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata perarakan tersebut merupakan maklum balas terhadap kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat berhubung kekosongan jawatan penting dalam badan kehakiman, kelewatan proses pelantikan, serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.
Menurut Ezri, memorandum yang bakal diserahkan kepada PMO mengandungi empat tuntutan utama.
Antaranya pelantikan segera individu yang memiliki integriti, pengalaman dan rekod penghakiman yang cemerlang ke jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman — individu yang dihormati bukan sahaja oleh komuniti kehakiman, tetapi juga oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal menegaskan Bersih secara prinsip berkongsi pendirian dengan Badan Peguam mengenai keperluan untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman.

Dia turut menekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memainkan peranan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan untuk menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan berhubung pelantikan hakim oleh pelbagai pihak.
“Penjelasan atas isu yang dibangkitkan penting untuk menolak spekulasi wujud cubaan campur tangan eksekutif terhadap badan kehakiman.
“Melihat ke hadapan, pihak kerajaan harus komited untuk menambah baik undang-undang sedia ada bagi memastikan kebebasan institusi kehakiman terus dipelihara.
“Ini termasuklah mengurangkan pengaruh perdanamMenteri dalam isu lantikan hakim, serta mengangkat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebagai badan berperlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, ketika dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan pihaknya akan menyertai perarakan tersebut. Namun, dia tidak memberikan maklum balas lanjut berkenaan penyertaan C4 buat masa ini.

