Kita semua berduka atas tragedi menyayat hati yang meragut enam nyawa sekeluarga dalam satu insiden kemalangan di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini.
Menurut rekod Polis Daerah Kubang Pasu, sebanyak lapan kematian direkodkan di kawasan ini dalam tempoh lima tahun.
Kejadian ini bukan lagi terpencil. Ia adalah amaran jelas tentang risiko yang masih belum ditangani.
Lebih daripada simpati, kita sebagai masyarakat dan pihak berwajib wajib mengambil ibrah daripada tragedi ini.
Dalam konteks ini, ibrah bermaksud bukan sahaja mengenang dan bersedih atas kehilangan, tetapi mengambil tindakan nyata untuk mencegah perkara sama daripada berulang.
Tindakan segera
Berdasarkan situasi di lokasi kejadian, agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu segera:
1. Membina penghadang keselamatan (guardrail) di laluan berisiko tinggi berhampiran sungai.
2. Menyemak semula reka bentuk jalan di kawasan berhampiran tebing sungai yang sempit dan tidak rata.
3. Memasang papan tanda amaran dan pencahayaan (lampu jalan) yang mencukupi, khususnya di kawasan gelap dan waktu hujan.
4. Menilai sistem saliran serta potensi bahaya jalan sempit dan licin yang boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
Jangan tunggu tragedi seterusnya baru mahu bertindak.
Langkah pencegahan lebih murah dan lebih mulia daripada meratapi kehilangan.
MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR adalah aktivis masyarakat dan penganalisis pengangkutan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

