malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RCI kehakiman: Gerakan persoal sikap membisu pemimpin DAP
Diterbitkan:  Jul 10, 2025 7:58 AM
Dikemaskini: 11:58 PM
ADS

Seorang pemimpin Gerakan mengecam DAP kerana berdiam diri berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan badan kehakiman, dengan membangkitkan pendirian lantang parti itu sebelum ini dalam mempertahankan prinsip pengasingan kuasa.

“Di manakah Lim Kit Siang, pemimpin agung DAP yang dihormati itu?” soal Timbalan Pengerusi Gerakan Perak, Naran Singh dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Naran mempersoalkan sikap Lim sebelum ini yang lantang mengkritik kenyataan Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin mengenai identitinya sebagai seorang Melayu dan rakyat Malaysia, namun membisu dalam isu kehakiman.

“Sudah tentu kebebasan badan kehakiman adalah isu yang jauh lebih berat — satu perkara yang sewajarnya mendapat perhatian Lim sekali lagi. Bukankah ini lebih penting daripada perdebatan sama ada Muhyiddin ‘Malaysian first’ atau ‘Malay first’?” tambahnya.

Naran yang juga seorang peguam turut menyasarkan kritikan terhadap Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

“Di manakah setiausaha agung DAP? Dia pastinya faham bahawa kebebasan badan kehakiman — tonggak utama mana-mana demokrasi yang berfungsi — sekurang-kurangnya sama penting, kalau tidak lebih penting, berbanding urusan kereta api dan bas.

“Rayer terkenal pantas bersuara dan sering bangun dalam Parlimen. Jadi, di manakah dia sekarang? Sebagai seorang peguam, dia sepatutnya sangat prihatin tentang keadaan badan kehakiman. Dan bagaimana pula dengan Kulasegaran yang juga seorang peguam? Juga tidak kelihatan.

“Mereka tahu bahawa tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan tamat.

“Apa yang mereka lakukan?” soalnya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa kerajaan sedar akan kebimbangan orang ramai terhadap isu itu.

Sebaliknya, Naran memuji pendirian Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok kerana dilihat menyokong gesaan sembilan Ahli Parlimen PKR — yang diketuai oleh Rafizi Ramli — untuk menubuhkan RCI.

“Setakat ini, Teresa kelihatan satu-satunya pemimpin DAP yang berani dan berpendirian untuk bersuara. Yang lain semuanya hilang,” tambahnya.

Pada Isnin lalu, Rafizi dan lapan lagi Ahli Parlimen PKR menggesa penubuhan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung reformasi institusi bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam kehakiman.

Mereka mahu RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk pencalonan bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Mereka turut menimbulkan kebimbangan bahawa JAC telah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa notis 10 hari seperti yang diwajibkan untuk mencadangkan calon baharu.

Rafizi menyamakan dakwaan ini dengan skandal VK Lingam, di mana rakaman perbualan telefon pada tahun 2002 mendedahkan usaha mempengaruhi pelantikan kehakiman.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara kemudian menyangkal isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PKR itu dan menyifatkan perbandingan dengan skandal VK Lingam sebagai tidak sesuai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen