Pemangku Ketua Hakim Negara, Hasnah Hashim dilaporkan menolak permintaan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan prosiding mahkamah pada 14 Julai bagi membolehkan para peguam menyertai perarakan aman demi mempertahankan kebebasan kehakiman.
Hasnah dipetik media tempatan berkata tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal dan persiapan juga telah dibuat oleh saksi-saksi serta pegawai mahkamah.
Badan Peguam pula menegaskan tetap akan meneruskan perarakan tersebut dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya bagi menyerahkan satu memorandum yang mengandungi empat tuntutan utama.
Setiausaha Badan Peguam, Murshidah Mustafa dilaporkan media tempatan memaklumkan kepada ahli-ahli bahawa satu surat telah dihantar kepada Hasnah pada 8 Julai bagi memohon kebenaran menangguhkan kes ke tarikh lain.
Namun, permohonan itu telah ditolak pada hari yang sama.
Hasnah dalam suratnya menyatakan permintaan tersebut tidak dapat dipertimbangkan memandangkan tarikh-tarikh pelbagai kes melibatkan pelbagai pihak berkepentingan ditetapkan lebih awal dan saksi serta pegawai mahkamah telah membuat persiapan untuk perbicaraan.
Bagaimanapun, menurut Murshidah, mereka yang tidak mempunyai urusan di mahkamah pada 14 Julai digalakkan untuk turut serta dalam perarakan tersebut.
Perarakan itu akan bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya, dengan satu memorandum akan diserahkan bagi menuntut tindakan segera untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Semalam, Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab menegaskan perarakan itu merupakan kenyataan kolektif daripada para profesional undang-undang yang komited mempertahankan kebebasan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.
Katanya, perarakan ini bukan hanya untuk peguam — sebaliknya sesiapa sahaja daripada badan kehakiman mahupun orang awam boleh turut serta.
Badan Peguam memaklumkan pihaknya akan menyerahkan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terkini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat campur tangan kehakiman, serta menangani isu kekosongan jawatan kehakiman secara menyeluruh.
Tuntutan ini muncul di tengah-tengah ketegangan yang memuncak susulan dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim serta kekosongan jawatan yang masih belum diselesaikan selepas persaraan beberapa hakim kanan baru-baru ini.
Ezri menegaskan bahawa perarakan itu merupakan kenyataan kolektif daripada para profesional undang-undang yang komited mempertahankan kebebasan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. Beliau turut menyatakan bahawa perarakan ini bukan hanya untuk peguam — sebaliknya sesiapa sahaja dari badan kehakiman mahupun orang awam boleh turut serta.

