malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kebebasan kehakiman tak akan terjamin selagi PM ada isu undang-undang'
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 9:38 PM
Dikemaskini: 1:38 PM
ADS

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengingatkan kebebasan kehakiman tidak akan terjamin selagi Perdana Menteri berdepan isu undang-undang secara peribadi.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin mengaitkan kebimbangan terhadap krisis kehakiman dengan saman sivil Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia juga percaya ahli Parlimen kerajaan mula menyedari Anwar “berada di jalan yang salah” dan tidak lagi percayakannya.

Janji reformasi institusi tinggal janji sahaja yang tidak akan dilaksanakan. 

“Malah institusi negara sedang dirobek dan kebebasan rakyat disekat semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri kekal berkuasa,” katanya.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir susulan gesaan sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan kehakiman.

Namun Jabatan Peguam Negara menepis kebimbangan tersebut tetapi mengakui dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan mencampuri urusan penghakiman dan pelantikan kehakiman adalah serius.

Dakwaan terhadap hakim itu dikatakan berbangkit dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) ketika Tengku Maimun Tuan Mat masih menjadi Ketua Hakim Negara.

Perkara itu menjadi pengetahuan umum dua minggu lalu selepas satu laporan polis dibuat bagi pihak hakim berkenaan berhubung pertanyaan oleh Malaysiakini mengenai dakwaan tersebut dibocorkan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menggesa para ahli Parlimen kerajaan untuk menyatakan mereka telah hilang keyakinan terhadap Anwar.

Katanya, tindakan itu perlu diambil memandangkan Anwar pasti tidak akan mendengar desakan ahli Parlimen agar langkah diambil untuk menjamin kebebasan badan kehakiman.

Apabila Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan Persekutuan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.

“Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, hilanglah mendung yang menyelubungi negara dan selamatlah negara ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, pihak pembangkang turut menggesa Anwar bercuti sementara siasatan RCI dijalankan.

Muhyiddin yang merupakan bekas Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa kejatuhan populariti Anwar susulan dasar kontroversi seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik serta pengurangan subsidi, boleh mendorong Anwar untuk mengetatkan cengkaman ke atas institusi negara agar kekal berkuasa.

Selain itu, dia juga membidas tindakan Anwar sebelum ini yang memohon kekebalan daripada tindakan mahkamah sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dan jelas menunjukkan wujudnya konflik kepentingan yang jelas.

Dia merujuk kepada permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada dia mendapat kekebalan daripada prosiding sivil yang dimulakan oleh Yusoff.

‘Ketika saya jadi PM…’

Muhyiddin turut membandingkan pentadbirannya dengan Anwar, dengan menegaskan dia tidak pernah mencampuri urusan kehakiman semasa menjadi perdana menteri.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan. 

“Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim. 

Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen