malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA gesa k’jaan buat langkah sokongan ekonomi susulan penurunan OPR
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM
ADS

MCA menggesa kerajaan melaksanakan langkah sokongan ekonomi secara bersepadu, susulan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Setiausaha Jawatankuasa Ekonomi dan Hal Ehwal Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA Lee Kah Hing menyambut baik penurunan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindak balas proaktif terhadap kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi domestik dan ketidaktentuan global.

“Namun begitu, jawatankuasa menegaskan bahawa pelonggaran dasar monetari semata-mata tidak mencukupi untuk menggiatkan semula momentum ekonomi atau mengembalikan keyakinan rakyat.

“Langkah BNM ini adalah tepat pada masanya dan perlu. Namun tanpa dasar fiskal dan struktur yang diselaraskan oleh kerajaan, kesannya terhadap PKS dan isi rumah biasa akan tetap terhad,” kata Lee dalam kenyataan, hari ini.

Lee Kah Hing

Hari ini, BNM turut memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023. Kadar dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.

Lee mencadangkan empat langkah untuk melengkapi penurunan OPR:

  • Pengenalan skim pembiayaan khas dengan kadar faedah rendah untuk PKS, khususnya dalam sektor pembuatan, runcit dan perkhidmatan.

  • Penyediaan sokongan kos sara hidup secara bersasar atau baucar digital bagi merangsang perbelanjaan pengguna.

  • Pengurangan atau penggantungan sementara cukai tidak langsung ke atas barangan asas, termasuk makanan keperluan.

  • Mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur awam bagi mencetuskan kesan pengganda dalam ekonomi.

Tekanan terhadap ringgit

Lee berkata, walaupun langkah pemotongan kadar faedah dapat mengurangkan beban kewangan, ia juga boleh memberi tekanan ke arah penyusutan nilai ringgit, meningkatkan kos import dan melemahkan pulangan simpanan.

Hal-hal ini perlu ditangani secara berhati-hati, katanya lagi.

“Ini merupakan pemotongan kadar yang pertama dalam tempoh dua tahun, menandakan kebimbangan bank pusat terhadap risiko pertumbuhan dalam jangka pendek.

“Kerajaan perlu mengambil peluang ini untuk menyusun semula keutamaan ekonomi, dengan memberi tumpuan kepada pembaharuan jangka panjang dalam sistem percukaian, pembangunan PKS dan penggunaan domestik,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen