malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi tak sertai perarakan peguam di Putrajaya
ADS

Meskipun melibatkan isu dan keutamaan yang sama, Rafizi Ramli berkata, dia tidak akan menyertai perarakan aman dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia di Putrajaya pada minggu depan.

Menurut bekas menteri ekonomi itu, perarakan tersebut hanya melibatkan barisan peguam.

Justeru, katanya, dia dan ahli parlimen PKR lain – yang turut menuntut agar institusi kehakiman kekal bebas – tidak mendapat campur tangan pihak luar.

"Saya tidak pasti sama ada Badan Peguam mengalu-alukannya (jika hadir). Mungkin juga itu dilihat sebagai campur tangan politik dalam urusan mereka.

“Justeru saya tidak merancang (untuk menyertai perarakan) buat masa ini.

“Mengikut pandangan saya, ia (perarakan) itu adalah urusan Badan Peguam," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Badan Peguam merancang untuk mengadakan perarakan beramai-ramai pada 14 Julai ini. Ia dianjurkan bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan dengan menuntut tindakan segera agar institusi kehakiman kekal bebas daripada sebarang campur tangan.

Perarakan itu dirancang diadakan dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri.

Kelmarin Rafizi bersama lapan ahli parlimen mengadakan sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung kelewatan pelantikan jawatan kanan hakim.

Antaranya melibatkan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Mereka juga mengaitkan kemelut itu dengan skandal kehakiman yang pernah menggemparkan negara lebih 20 tahun lalu melibatkan seorang hakim kanan dan peguam terkenal.

Insiden itu dikenali sebagai Skandal VK Lingam dan berlaku pada 2002.Bagaimanapun RCI hanya ditubuhkan kira-kira lima tahun kemudian.

Presiden Badan Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman itu adalah manifestasi mereka terhadap kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan, serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen