malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelaksanaan parkir pintar di Kangar ditangguh serta-merta
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 7:26 PM
Dikemaskini: 11:26 AM
ADS

Pelaksanaan sistem parkir pintar di sekitar bandar Kangar yang mula beroperasi pertengahan Jun lalu ditangguhkan serta-merta bagi tempoh enam bulan susulan rungutan orang ramai berkaitan keselesaan dan kemudahan penggunaannya.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco hari ini dengan mengambil kira keperluan untuk menambah baik pelbagai aspek pelaksanaan sistem tersebut.

Katanya kerajaan negeri mendapati pelaksanaan sistem parkir pintar belum benar-benar memenuhi tahap keselesaan yang diharapkan pengguna.

“Penangguhan ini berkuat kuasa serta-merta.

"Sepanjang tempoh ini, tiada sebarang kutipan bayaran parkir akan dilakukan sehingga semua penambahbaikan yang dipersetujui dilaksanakan sepenuhnya,” kata Mohd Shukri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini.

Mohd Shukri berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diminta untuk berunding dengan syarikat pengendali parkir terbabit bagi memastikan setiap penambahbaikan yang dicadangkan dapat dilaksanakan mengikut keperluan pengguna.

“Kita mahu tengok dari aspek seperti lorong masuk yang tidak menyusahkan pemandu, penggunaan aplikasi yang mudah difahami serta kaedah bayaran alternatif supaya lebih mesra pengguna.

"Kalau penambahbaikan dapat diselesaikan lebih awal daripada enam bulan, kita boleh pendekkan tempoh penangguhan,” katanya.

Mohd Shukri berkata selain itu kerajaan Perlis juga akan mengkaji semula lokasi parkir yang ditetapkan agar lebih sesuai serta menepati keperluan orang awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen