Fasa pertama pengurusan kutipan bayaran parkir kenderaan di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd, sebuah syarikat konsesi baru yang dilantik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – atau MBI Selangor – berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, berkata empat PBT yang terlibat adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Katanya langkah itu merupakan antara perubahan yang diusahakan kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil kutipan parkir kenderaan yang ketika ini hanya mampu mengutip hasil kira-kira 30 peratus daripada 1,000 petak yang disediakan.
“Syarikat konsesi ini akan mengambil alih tugas mengutip serta penguatkuasaan bayaran parkir, dan mereka akan dipantau ketat oleh PBT dan kerajaan negeri.
“Selangor menyasarkan hasil kutipan parkir meningkat lebih 60 peratus dan pada masa sama dapat menangani masalah parkir berlapis terutamanya di kawasan yang sibuk," katanya pada sidang media di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Ng berkata syarikat berkenaan akan memperoleh 50 peratus hasil kutipan manakala bakinya dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan PBT menerima 40 peratus dan MBI Selangor 10 peratus.
Sementara itu, Ng berkata, dakwaan pelantikan syarikat konsesi berkenaan dibuat secara tender tertutup dan kewujudan elemen pemberian kontrak secara terus adalah tuduhan tidak berasas.
“Ini kerana kerajaan Selangor menerusi MBI Selangor mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) dan terdapat 26 syarikat yang berminat dalam sektor industri parkir ini sebelum tiga syarikat terpilih (untuk disenarai pendek),” katanya.
Ng berkata konsesi yang terpilih itu turut dikenakan syarat ketat dan mereka perlu meningkatkan hasil kutipan dalam tempoh tertentu.
Dia berkata tindakan pembatalan kontrak boleh dilakukan pada bila-bila masa sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi syarat yang ditetapkan walaupun kontrak 10 tahun diberikan kepada syarikat berkenaan.
"Kerajaan negeri percaya pembaharuan yang dilakukan ini tidak akan meningkatkan kadar bayaran parkir, malah caj parkir di Selangor masih berpatutan iaitu antara 40 sen hingga 60 sen sejam," katanya.
- Bernama

