malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Portal Wilayahku ditutup, gaji staf tak dibayar
ADS

Bahagian penerbitan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), badan bagi membantu golongan miskin, menamatkan operasinya secara rasmi berkuat kuasa 1 Julai.

Malaysiakini difahamkan keputusan itu melibatkan sekurang-kurangnya 15 kakitangan editorial yang bekerja di Yayasan Wilayah Persekutuan Media Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan warta mingguan Wilayahku serta portal dalam taliannya.

"Gaji kami mula lewat sejak Mac, kadangkala dibayar secara ansuran, dan sehingga kini gaji bulan Jun masih belum dijelaskan," kata seorang wartawan yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan.

Laman web rasmi Wilayahku menyatakan fokus utamanya untuk mempromosi tarikan serta aktiviti di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, termasuk juga peristiwa di kawasan sekitar.

Difahamkan, pasukan editorial termasuk jurufoto, pereka grafik dan kakitangan pentadbiran telah mengosongkan pejabat mereka di tingkat sembilan Menara Seri Wilayah, yang turut menempatkan Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurut memo dalaman bertarikh 4 Julai, pengurusan syarikat memaklumkan bahawa keputusan untuk menamatkan operasi akibat “keadaan kewangan yang kritikal” telah dicapai dalam mesyuarat lembaga tergempar pada 30 Jun.

Ia kemudiannya, menurut memorandum itu, diluluskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa selalu pengerusi lembaga pengarah yayasan.

Memo kepada semua kakitangan turut menyatakan bahawa hari terakhir mereka bekerja pada 1 Julai, diikuti dengan sesi pertemuan kakitangan (townhall) pada 7 Julai dan notis rasmi daripada Jabatan Sumber Manusia syarikat pada 8 Julai.

Ketika dihubungi Malaysiakini Ketua PKR Setiawangsa merangkap Pengerusi YWP Media, Afdlin Shauki mengesahkan penutupan operasi tersebut.

Katanya, punca "keadaan kewangan kritikal" syarikat itu antara lainnya kepada tunggakan bayaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ya, sangat malang apabila Wilayahku terpaksa ditutup. Ini kerana kami tidak mampu lagi meneruskan operasi berikutan isu-isu berkaitan kontrak yang tidak dibayar oleh DBKL.

"Oleh itu, kami terpaksa menanggung banyak kos, dan akhirnya membuat keputusan untuk menutup operasi sehingga segala urusan dengan DBKL diselesaikan," katanya.

Afdlin turut mendakwa pembekuan pembayaran oleh DBKL berpunca daripada fitnah terdahulu yang mendakwa dia sebagai ahli lembaga penasihat DBKL, telah memperoleh kontrak bernilai jutaan ringgit tanpa mematuhi prosedur yang betul.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat semakan menyeluruh dan mendapati tiada sebarang tindakan lanjut diambil kerana saya tidak terlibat langsung.

"Tetapi DBKL masih mahukan 'surat' daripada SPRM, namun surat itu belum diperoleh. Hanya selepas surat itu diterima, barulah DBKL akan melepaskan bayaran," kata pengarah dan pelawak itu.

Bagaimanapun, Afdlin memaklumkan Lembaga YWP telah membuat keputusan untuk menamatkan penerbitan yang bermula sejak Januari 2019 dengan versi cetakan mingguan, ketika itu di bawah seliaan bekas menteri Khalid Samad.

Tuduhan terhadap Afdlin pertama kali muncul pada Januari lalu menerusi saluran Telegram Edisi Siasat yang kini telah diharamkan.

Pada ketika itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata satu siasatan dalaman telah dimulakan berhubung dakwaan tersebut manakala Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya bersedia untuk menjalankan siasatan serupa.

Pada 17 Februari, portal MalaysiaNow memetik Azam sebagai berkata tiada unsur rasuah ditemui berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh DBKL berkaitan kontrak bernilai RM4 juta untuk mengendalikan stesen radio dalaman.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen