malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah kesal gaduh di acara lelong arak
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak agar segera mengeluarkan garis panduan berhubung jenis aktiviti yang dibenarkan di kawasan sekolah.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Sosial Amanah, Azli Yusof menjelaskan gesaan itu susulan satu pergaduhan yang tercetus di sebuah sekolah di Pekan Nanas, sehingga menyebabkan 18 lelaki ditahan.

"Amanah melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap insiden pergaduhan yang berlaku dalam kawasan sekolah, melibatkan satu majlis lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini.

"Kami mengambil maklum bahawa majlis berkenaan adalah program tahunan yang merupakan sebahagian daripada usaha mengumpul dana (fundraising) oleh pihak tertentu.

"Walau bagaimanapun, penganjuran aktiviti yang melibatkan alkohol dalam premis institusi pendidikan — apatah lagi sehingga mencetuskan kekecohan — adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan peranan sebenar institusi pendidikan sebagai tempat yang membina peradaban dan nilai murni," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Shofee Tayib pada Ahad lalu dilaporkan mengesahkan penahanan individu-individu berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, kekecohan berlaku apabila para lelaki tersebut membaling kerusi ke arah pentas, dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan harga arak yang dilelong dalam satu majlis makan malam amal.

Shofee turut memberitahu Malaysiakini bahawa empat lelaki telah mengaku bersalah semalam dan didenda RM700 setiap seorang atas kesalahan menyebabkan pergaduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Empat belas lagi individu dibebaskan dengan jaminan, dan tiada tindakan diambil terhadap penganjur, katanya hari ini.

Dalam pada itu, Azli menegaskan Amanah tetap berpendirian bahawa institusi pendidikan merupakan wadah suci yang mesti dipelihara daripada sebarang unsur mencemarkan peranannya dalam membentuk individu yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

“Akhir sekali, kami menyeru semua pihak untuk terus memastikan sekolah kekal sebagai pusat ilmu, pembentukan akhlak mulia dan pemupukan budaya sihat demi masa depan generasi yang sejahtera dan bermaruah,” katanya lagi.

Sementara itu, Adun Pekan Nanas, Tan Eng Meng, memaklumkan kepada Malaysiakini tiada pelajar atau guru terlibat dalam majlis makan malam tersebut.

Katanya, terdapat hadirin yang didapati “mabuk” dan acara berakhir dengan penangkapan beberapa individu.

“Adalah perkara biasa di kampung baru untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menyewakan dewan mereka untuk pelbagai acara. Ia dikendalikan oleh lembaga pentadbiran sekolah.

“Ia tidak melibatkan guru besar. Keputusan dibuat oleh pengerusi lembag dan dewan itu memang sering digunakan untuk pelbagai aktiviti,” jelas Tan yang juga naib ketua MCA Tanjung Piai itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen