malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi selesai sampaikan LOD ke Papagomo
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 8:20 AM
ADS

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyerahkan notis tuntutan saman (LOD) terhadap personaliti media sosial, Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali ramai sebagai Papagomo.

Menurutnya serahan LOD itu dibuat oleh pasukan peguamnya di kediaman bekas pemimpin Pemuda Umno terbabit di Kuala Lumpur pada awal petang tadi.

"Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan.

"Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah," katanya dalam hantaran di Facebook.

Isnin lalu, Asyraf Wajdi yang juga pengerusi Mara menegaskan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri susulan dakwaan fitnah yang mengaitkan dia dengan salah guna kuasa serta penyelewengan dana Mara.

Menurut Asyraf Wajdi dia akan menuntut pampasan RM1 juta daripada Papagomo yang didakwa menyebarkan tohmahan berhubung pengagihan tender makanan dan projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), selain mendakwa dia menggunakan dana agensi kerajaan itu untuk membeli lembu korban di Gerik.

"Tular satu lagi siri fitnah oleh Papagomo yang mendakwa saya mengagihkan tender makan dan projek-projek MRSM kepada ketua-ketua Umno bahagian serta menggunakan duit Mara untuk beli lembu korban di Gerik.

"Astaghfirullah… sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM?” katanya.

Berdasarkan LOD yang dikongsi di media sosial, selain ganti rugi Asyraf juga menuntut Papagomo menarik balik dakwaan yang dilontarnya serta membuat permohonan maaf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen