malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kena tanya Trump kenapa tarif Malaysia naik 1 peratus, kata Zafrul
ADS

Malaysia menyerahkan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menjelaskan tindakannya meningkatkan tarif ke atas eksport Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan menaikkan tarif yang dikenakan kepada Malaysia sebanyak 25 peratus dibuat oleh Trump, dan bukannya menerusi proses rundingan.

Justeru, katanya, Malaysia telah mengemukakan pertanyaan kepada Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung kenaikan tarif tersebut.

“Itu kena tanya USTR dan kita dah tanya, dia pun tak ada jawapan kerana ini terpulang kepada Trump. 

“Seperti Jepun juga yang tanya kenapa tiba-tiba naik satu peratus. Tetapi kita terima dalam konteks perbincangan.

“Satu peratus itu masih rendah berbanding negara seperti Thailand, Indonesia dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas berkenaan kadar tarif balas terkini yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. 

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Apa yang penting, kata Tengku Zafrul, Malaysia akan terus mengadakan rundingan memandangkan kadar tarif tersebut hanya akan berkuat kuasa bermula 1 Ogos ini.

Zafrul berkata demikian mengulas persoalan sekitar peningkatan tarif ke atas eksport Malaysia, di sebalik gambaran rundingan antara kedua-dua negara berjalan dengan positif. 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Malaysia perlu melihat konteks perbincangan ini yang tidak hanya berkisar tentang tarif, sebaliknya melibatkan pelbagai aspek termasuk perundangan dalam negara. 

"Kadar satu peratus sebenarnya bukanlah angka yang besar. Kita masih berada pada paras yang lebih rendah berbanding negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan lain-lain.

“Undang-undang yang penting untuk negara kita dan kita tak boleh berkompromi.

“Oleh itu, kita perlu melihat secara keseluruhan dan seperti saya sebut tadi, kalau boleh kita nak kurangkan bawah 25 peratus dan lantainya ialah 10 peratus,” katanya.

Antara negara yang akan dikenakan tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan.

Kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain seperti Afrika Selatan dan Bosnia dan Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus) serta Kemboja dan Thailand (36 peratus).

AS mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.

Angka tersebut merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding tarif yang diumumkan Trump pada April lalu.

Tambah Tengku Zafrul, apa yang lebih penting, tarif ini masih belum berkuat kuasa.

“Ia hanya akan mula berkuat kuasa pada bulan Ogos. Kami juga akan terus mendengar sesi pendengaran yang akan datang.

"Paling utama, seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kita tidak boleh berkompromi apabila melibatkan isu kedaulatan negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen