malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Trump: Putin banyak helah, AS mahu hantar lebih banyak senjata ke Ukraine
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 2:07 PM
Dikemaskini: 6:50 AM
ADS

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin berhubung perang yang masih berlarutan di Ukraine.

CNBC memetik Trump sebagai menuduh pemimpin Russia itu membuat janji-janji kosong’ kepada AS dalam usaha untuk menamatkan konflik tersebut.

“Dia (Putin) bunuh ramai orang... askar dia dan askar mereka, kebanyakan mereka, dan sekarang (angka kematian) mencecah 7,000 seminggu,” kata Trump merujuk kepada Putin semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.

“Dan saya tak puas hati dengan Putin,” kata Trump. “Saya sangat tak puas hati dengan mereka.”

Kenyataan Trump itu dibuat beberapa hari selepas Pentagon menghentikan sementara penghantaran senjata ke Ukraine — dan sehari selepas dia berkata bahawa AS kini akan “menghantar lebih banyak senjata” ke negara itu bagi mempertahankan diri daripada Russia.

Trump berkata dia tidak tahu siapa yang mengarahkan penangguhan penghantaran senjata tersebut minggu lalu.

“Kenapa awak tak beritahu saya?” kata Trump kepada seorang wartawan, separuh berseloroh, sementara Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth duduk di sebelahnya.

Seperti yang sering dilakukannya sebelum ini, Trump pada Selasa menyalahkan dua presiden sebelum dirinya dari Parti Demokrat — Joe Biden dan Barack Obama — atas keputusan Putin untuk menyerang Ukraine pada Februari 2022.

Trump berkata bahawa perang itu “lebih sukar untuk dihentikan” daripada apa yang dijangkakan oleh Russia, sebahagian besarnya kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan oleh AS kepada tentera Ukraine.

“Perang... yang sepatutnya tak berlaku langsung, dan ramai orang terbunuh dan ia patut dihentikan,” kata Trump.

“Kita banyak dilemparkan janji-janji kosong oleh Putin, kalau awak nak tahu kebenarannya,” kata Trump.

“Dia sangat mesra setiap masa, tapi semuanya tak bermakna.”

Trump dan Putin terakhir kali bercakap melalui telefon pada 3 Julai, satu panggilan yang menurut Rumah Putih berlangsung hampir sejam.

Kemudian pada hari yang sama, Trump memberitahu wartawan bahawa panggilan itu cukup mengecewakan.

“Saya sangat kecewa dengan perbualan saya hari ini dengan Presiden Putin, kerana saya rasa dia sudah tak berada dalam landasan yang betul,” kata Trump ketika dalam perjalanan pulang ke Washington selepas lawatan ke Iowa.

“Saya tak rasa dia mahu hentikan perang di Ukraine,” kata Trump. “Dan itu sangat dikesalkan.”

Sementara itu, agensi berita Xinhua, memetik Trump sebagai berkata dia meluluskan penghantaran senjata tambahan ke Ukraine dan sedang mempertimbangkan sekatan baharu terhadap Russia.

“Kita akan menghantar beberapa senjata pertahanan ke Ukraine dan saya telah meluluskannya.

“Mereka perlu mampu mempertahankan diri. Mereka sedang diserang hebat sekarang,” kata Trump semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.

Trump juga memaklumkan bahawa dia sedang mempertimbangkan sama ada akan menyokong rang undang-undang dwipartisan di Senat yang bertujuan mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Russia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen