malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kecoh lelongan arak: Tiada pelajar, guru terlibat - Adun Pekan Nanas
ADS

Adun Pekan Nanas, Tan Eng Meng, menjelaskan tiada pelajar atau guru terlibat dalam majlis makan malam bagi mengutip dana sebuah tokong di dewan sekolah yang berakhir dengan beberapa belas orang ditahan akibat salah laku ketika mabuk.

Tan yang juga Naib Ketua MCA Tanjung Piai memberitahu Malaysiakini, dia hadir untuk merasmikan majlis tersebut dan ada minuman keras dihidangkan serta dilelong sebagai sebahagian daripada aktiviti kutipan dana.

"Memang biasa kalau di kampung baru Cina banyak sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menyewakan dewan mereka bagi pelbagai majlis. Hal ini diuruskan oleh lembaga pentadbir sekolah.

"Ia tidak melibatkan guru besar sekolah. Keputusan dibuat oleh pengerusi lembaga pengelola, dan dewan itu memang sering digunakan untuk pelbagai aktiviti," katanya.

Pada Ahad lalu polis Pontian mengesahkan seramai 18 lelaki ditahan berhubung kekecohan yang berlaku semasa acara kutipan dana untuk sebuah tokong di kawasan berkenaan.

Menurut laporan akhbar Kosmo! itu, kekecohan berlaku selepas beberapa lelaki membaling kerusi ke arah pentas, dipercayai akibat tidak puas hati dengan harga minuman keras yang dilelong.

Mengulas lanjut, Tan berkata, ramai tetamu hadir ke majlis makan malam untuk tokong itu dan mungkin ada yang mabuk.

“Insiden itu tular di media sosial tetapi tiada sesiapa yang cedera.

“Isunya bukan pada penganjuran acara itu, tetapi individu yang mabuk. Majlis itu langsung tidak melibatkan pelajar atau guru,” tambahnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mohd Shofee Tayib, memberitahu Malaysiakini, empat lelaki mengaku bersalah di mahkamah semalam dan didenda RM700 atas pertuduhan melakukan kekecohan.

Katanya pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Baki 14 lelaki lain, kata Mohd Shofee, dibebaskan dengan jaminan. Penganjur pula, katanya, tidak dikenakan tindakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen