Pemuda PKR (AMK) berpendapat timbalan presiden mereka, Nurul Izzah Anwar, memang gigih terlibat memperjuangkan isu-isu berkaitan masyarakat India di negara ini walaupun tidak memiliki sebarang jawatan dalam kerajaan.
Naib Ketua AMK Malaysia, Pravin Murali, berkata banyak cabaran yang dihadai oleh rakyat keturunan India di negara ini berpunca daripada kegagalan pemimpin terdahulu yang tidak membawa agenda pembangunan menyeluruh atau berkesan.
Dalam keadaan itu, katanya, Nurul Izzah kerap turun padang dan mendekati pelbagai lapisan masyarakat bagi memahami realiti yang dihadapi mereka serta merangka langkah penyelesaian yang menyeluruh.
"Ketika berkhidmat sebagai ahli parlimen di Lembah Pantai dan Permatang Pauh, Nurul Izzah sentiasa memperjuangkan isu-isu melibatkan masyarakat India, termasuk akses pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan keluarga B40 serta pembangunan komuniti secara holistik.
"Komitmen beliau bukan bersifat bermusim tetapi berasaskan prinsip dan nilai keadilan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini Nurul Izzah menyuarakan kebimbangannya terhadap sokongan masyarakat India kepada PH dan berpendapat ia perlu diberi perhatian khusus. Justeru dia melihat ada keperluan untuk mendesak kerajaan melihat isu berkenaan.
Cerminan pemimpin masa depan
Nurul Izzah berkata demikian semasa berkempen menjelang pemilihan jawatan utama PKR yang menyaksikan dia mencabar Rafizi Ramli untuk kerusi nombor dua parti berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan Nurul Izzah itu turut mengundang kecaman termasuk daripada pembangkang.
Misalnya Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang mengingatkan Nurul Izzah bahawa kerajaan yang dirujuk oleh ahli politik terbabit kini dipimpin oleh bapanya sendiri, Anwar Ibrahim, selaku perdana menteri.
"Kenyataan Nurul Izzah ini bagi saya paling lucu. Dia kata PKR akan desak kerajaan.
“Nurul, daddy kamu ialah Presiden PKR dan Perdana Menteri Malaysia,” kata Presiden MIPP, S Subramaniam.

Menjawab kritikan ke atasnya, Nurul Izzah berkata sikapnya yang dilihat kurang bersuara dalam isu melibatkan masyarakat India bukan bermakna dia tidak mengambil sebarang tindakan.
Sebaliknya, kata Nurul Izzah, dia lebih suka memilih untuk bekerja secara diam-diam dengan fokus kepada hasil yang konkrit berbanding bersandiwara.
Kata Pravin, walaupun Nurul Izzah tidak lagi memegang sebarang kuasa eksekutif atau legislatif, dia terus memainkan peranan penting di belakang tabir dengan berfikir, merancang dan menyumbang dalam pelbagai bentuk untuk memastikan tiada komuniti tercicir daripada agenda pembangunan negara.
Pravin yang juga Ketua PKR Subang menambah, Rancangan Malaysia Ke-13 wajar menjadi medan membetulkan sebarang kegagalan terdahulu dengan membina dasar yang inklusif, pelaksanaan telus, serta memberi keutamaan kepada aspek pendidikan, peluang ekonomi dan kesihatan untuk komuniti India.
Katanya AMK yakin pendekatan Nurul Izzah yang berteraskan nilai, dasar dan libat urus berterusan merupakan cerminan kepimpinan baru yang diperlukan Malaysia.
"Politik masa kini tidak lagi boleh bergantung kepada retorik semata-mata sebaliknya menuntut keikhlasan, tindakan berasaskan data serta keupayaan untuk menyatukan semua pihak ke arah penyelesaian bersama bagi pemerkasaan masyarakat India," katanya.

