malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Malaikat lari malam’ - Akmal puji Zahid berjiwa besar akui kesilapan
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 11:42 AM
Dikemaskini: 3:48 AM
ADS

Hanya yang berjiwa besar sahaja mampu mengakui kesilapan dan memohon maaf, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan rasa kesalnya kerana mengibaratkan malaikat pun tidak mampu menjadi presiden parti itu, ketika menggambarkan kesukaran tugas tersebut

Akmal berkata, sebagai manusia biasa timbalan perdana menteri itu juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Terima kasih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

"Tetapi bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf. Hanya yang berjiwa besar sahaja mampu melakukannya," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dia turut memuatkan kenyataan Ahmad Zahid yang memohon maaf di media sosialnya.

Semalam, presiden Umno itu menjelaskan kenyataannya itu diucapkannya dalam suasana penuh emosi namun mengakui perbandingan yang dibuatnya telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

Ahmad Zahid mengimbas kembali saat selepas tewasnya BN dalam PRU 2018, dan berkata ramai yang bertindak lari daripada Umno hanya kerana sedikit ujian.

“Allah nak uji sedikit saja, dah lari. Itu belum diuji 47 pertuduhan, itu belum (ujian) dibekukan harta Umno, belum dirampas harta Umno.

“Ditakdirkan jika Allah memerintahkan malaikat untuk menjadi presiden (Umno), malaikat pun ‘lari malam’, tapi tidak Zahid Hamidi yang tetap mempertahankan Umno,” katanya seperti dirakam dalam video tersebut.

Justeru, katanya, sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, dia memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata itu.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen