ULASAN | Ketika keadaan politik Amerika Syarikat terus mengejutkan dunia dengan dasar Presiden Donald Trump yang tidak menentu, muncul sedikit sinar harapan apabila sebahagian rakyat Amerika memilih Zohran Mamdani sebagai calon Parti Demokrat untuk pilihan raya Datuk Bandar New York pada November ini.
Kemenangan Mamdani tidak dijangka kerana dia menghadapi lawan yang jauh lebih kaya dan berpengalaman. Nama Andrew Cuomo cukup sinonim dengan kepimpinan dan akar umbi Parti Demokrat, begitu juga Eric Adams yang merupakan penyandang jawatan Datuk Bandar. Kedua-duanya mendapat sokongan dan dana daripada para jutawan Kota New York yang juga merupakan pembiaya kempen Presiden Trump.
Secara teorinya, tidak banyak faktor memihak kepada Mamdani. Dia seorang Muslim yang lahir di Uganda dan pernah membesar di Afrika Selatan sebelum berpindah ke New York pada usia tujuh tahun. Tambahan pula, Mamdani baru menjadi warganegara Amerika Syarikat pada tahun 2018. Walaupun Amerika sebuah negara yang terkenal dengan sikap toleran dan terbuka kepada migran, latar belakang Mamdani bukanlah suatu yang biasa.
Jika dikenang semula, tempat kelahiran sosok presiden berkulit hitam pertama, Barack Obama juga dipersoal banyak pihak. Hal ini menjadi persoalan besar kerana perlembagaan menetapkan bahawa seorang presiden harus lahir di Amerika Syarikat.
Antara suara paling lantang dalam birther movement tersebut ialah Trump sendiri, yang hari ini menggunakan naratif sama untuk menimbulkan kesangsian kepada kewarganegaraan Mamdani. Inilah realiti Amerika Syarikat - di sebalik keterbukaan dan sejarah panjang mereka menentang rasisme, warna kulit tetap menjadi kayu ukur penting untuk kepercayaan terhadap seseorang individu.

Dari segi ideologi juga, Mamdani menongkah arus. Dia merupakan ahli Democratic Socialists of America (DSA), sebuah organisasi politik (bukan parti politik) berhaluan kiri yang wujud sejak 1982.
Ahli DSA bertanding sebagai calon bagi parti-parti beraliran kiri-tengah seperti Parti Demokrat, Parti Hijau, Working Families Party atau sebagai calon bebas. Antara ahli DSA yang paling terkenal ialah Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandra Ocasio-Cortez (AOC).
Ketika berkempen, Mamdani tidak pernah teragak-agak untuk menyatakan ideologi politik yang dia anuti, iaitu sosialisme. Manifestonya untuk Kota New York lengkap dengan janji-janji kota berkebajikan seperti menghentikan kenaikan sewa rumah, memperkenalkan sistem penjagaan anak percuma, menaikkan gaji minimum dan memperkenalkan kedai runcit milik kerajaan.
Semua janji ini bakal dibiaya oleh kenaikan kadar cukai kepada syarikat korporat dan individu terkaya di Kota New York - atau dalam bahasa mudahnya, golongan T1. Kenaikan cukai inilah yang ditentang hebat oleh pihak lawan Mamdani, golongan paling berkuasa dalam Parti Demokrat dan juga para jutawan yang membiayai kempen mereka.
Cara Mamdani membiaya kempennya amat menarik untuk diteliti. Amerika Syarikat sinonim sebagai negara kapitalis yang menjadikan wang sebagai penentu hala tuju hidup seseorang. Kempen politik juga tiada bezanya. Kempen Pilihan Raya Presiden 2024 mencatat sejarah sebagai kempen paling mahal dengan calon Demokrat Kamala Harris mengumpul sebanyak AS$1 billion dalam masa tiga bulan dan Trump, seperti kita semua tahu, mendapat dana berbilion dolar daripada bekas penyokong kuatnya, Elon Musk.
Dalam hal ini, Mamdani sekali lagi menongkah arus dengan meraih dana daripada orang awam dan bukan jutawan korporat. Secara purata, dia berjaya mengumpul sebanyak AS$82 daripada 20,720 penderma. Strategi mengumpul jumlah yang kecil daripada penderma yang ramai ini pernah digunakan oleh Bernie Sanders dan AOC, kedua-duanya penyokong kuat Mamdani.
Strategi seperti ini mengurangkan risiko kempen politik dikuasai oleh jutawan dan ahli korporat yang tentu mengharapkan imbuhan kepada sokongan mereka. Secara tidak langsung, taktik Mamdani berjaya membina gerakan akar umbi yang merentas kaum, agama, umur dan kelas sosial.

Satu lagi perkara luar biasa tentang Mamdani ialah sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin. Mamdani tidak segan silu menyatakan sokongannya ketika berkempen dan tidak berganjak walau ditekan oleh pelbagai pihak yang menuduhnya sebagai anti-semitik.
Keberanian Mamdani juga terserlah apabila dia berjanji akan menahan Benjamin Netanyahu sekiranya Perdana Menteri Israel itu menjejakkan kaki ke Kota New York.
Ketika ramai pemimpin kanan Parti Demokrat sendiri enggan menyatakan sokongan kepada Palestin, malah masih berpegang kepada ideologi Zionis yang kejam, pendirian Mamdani amat diperlukan. Risiko politik yang ditanggung Mamdani akibat daripada pendirian ini tentunya amat tinggi, namun ia terbukti berjaya menawan hati para pengundi yang mungkin sudah mual dengan genosid di Gaza yang tidak mungkin tamat dalam masa terdekat.
Apa iktibar daripada kempen Mamdani yang dapat dijadikan teladan di Malaysia?
Pertama, taktik pengutipan dana yang mengurangkan risiko jutawan dan ahli perniagaan “membeli” pilihan raya. Taktik tersebut juga membina gerakan dan jaringan anak muda yang luas, dan secara tidak langsung melahirkan aktivis dan pemimpin politik masa hadapan.
Tambahan pula, ketelusan dana kempen bermaksud sesiapa sahaja boleh mendapatkan maklumat tentang jumlah dan sumber dana, berbeza dengan Malaysia yang masih tiada Akta Pendanaan Politik.

Kedua, walaupun Amerika kini menjadi bahan tawa akibat tindakan Presiden Trump, penduduk Kota New York masih berpeluang memilih Datuk Bandar yang berpendirian berbeza daripada Trump.
Inilah pentingnya rakyat mempunyai undi ketiga, sama ada dalam bentuk pilihan raya kerajaan tempatan atau Datuk Bandar. Rakyat berhak memilih pembuat keputusan yang terdekat dengan mereka - sayang sekali, perbincangan tentang undi ketiga sepi sejak beberapa tahun ini.
Sudah tentu, kemenangan Mamdani memberi pengajaran penting yang wajar diteladani oleh para Demokrat di serata Amerika. Kekalahan teruk calon Presiden mereka tahun lepas, Kamala Harris kepada Trump melumpuhkan semangat parti tersebut dan sehingga kini Demokrat seolah-olah buntu dan tidak memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan.
Kemenangan Mamdani mampu memberi nafas baru kepada Parti Demokrat yang asalnya beraliran progresif, hanya jika barisan pimpinan parti mampu bermuhasabah dan mengambil iktibar. Kita tunggu dan lihat.
AIRA AZHARI adalah CEO Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

