Saya mengikuti dengan teliti perkembangan mutakhir yang melibatkan institusi kehakiman negara, terutamanya kenyataan bersama oleh sembilan anggota parlimen PKR yang mendakwa sistem kehakiman kini melalui satu krisis besar.
Sebagai rakyat biasa yang menghormati prinsip pemisahan kuasa, saya menyambut baik sebarang usaha memperkukuh institusi kehakiman.
Namun, apabila anggota parlimen daripada parti pemerintah sendiri mula mendesak agar suruhanjaya siasatan diraja diwujudkan dan reformasi dilakukan, saya tertanya-tanya.
Siapa sebenarnya yang sedang mereka persoalkan?
Bukankah proses pelantikan hakim tertinggi negara termasuk ketua hakim negara melibatkan pihak eksekutif, iaitu kerajaan yang mereka sendiri wakili? Jika benar berlaku kelewatan atau kekeliruan dalam pelantikan, tidakkah ia mencerminkan kelemahan pentadbiran hari ini?
Lebih pelik apabila isu ini cuba ditanggapi seolah-olah kelemahan sistem, sedangkan keputusan akhir datang daripada pihak atasan – yang pada ketika ini tidak lain dan tidak bukan adalah pemimpin yang mereka sokong.
Menggesa agar pelantikan hakim dihentikan atas alasan ketidaktelusan hanya menambahkan kekeliruan rakyat, sedangkan penyelesaian sebenar terletak pada keberanian untuk menegur dan memperbetulkan kelemahan dalaman sendiri tanpa berselindung di sebalik retorik reformasi.
Rakyat bukan bodoh. Kita boleh menilai siapa yang benar-benar mahu memperkukuh institusi kehakiman, dan siapa yang hanya mahu mencuci tangan dalam kegagalan mengurus sistem yang mereka sendiri kuasai.
Saya menyeru agar semua pihak yang berkuasa tidak kira di parlimen, kabinet atau agensi pelantikan bertanggungjawab dan telus dalam menangani isu ini. Jangan rosakkan institusi kehakiman demi kelangsungan politik.
AMAD MUSHGA adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

