malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AS, Israel bincang pemindahan paksa rakyat Palestin keluar Gaza
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 9:50 AM
Dikemaskini: 2:30 AM
ADS

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan sekutunya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengadakan pertemuan di Rumah Putih, dengan kedua-dua pemimpin itu mengulangi cadangan kontroversi mereka untuk memindahkan secara paksa ribuan rakyat Palestin keluar dari Semenanjung Gaza.

Menurut Al Jazeera, Trump dan Netanyahu bertemu dalam satu majlis makan malam di Rumah Putih pada Isnin, ketika rundingan tidak langsung di Qatar antara Israel dan Hamas mengenai cadangan gencatan senjata 60 hari yang disokong AS bagi menamatkan perang Gaza yang berlarutan selama 22 bulan, dilaporkan menunjukkan sedikit kemajuan.

Netanyahu memberitahu wartawan yang hadir bahawa AS dan Israel sedang bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memberi rakyat Palestin “masa depan yang lebih baik”, dengan mencadangkan agar penduduk Gaza boleh berpindah ke negara-negara jiran.

“Jika mereka mahu kekal, mereka boleh kekal, tetapi jika mereka mahu keluar, mereka sepatutnya dibenarkan keluar. Ia tidak sepatutnya menjadi sebuah penjara. Ia perlu menjadi tempat terbuka dan memberi orang kebebasan untuk memilih,” kata Netanyahu.

“Kami bekerjasama rapat dengan AS untuk mencari negara-negara yang mahu merealisasikan apa yang sering mereka katakan, iaitu memberi rakyat Palestin masa depan yang lebih baik. Saya fikir kami semakin hampir untuk mengenal pasti beberapa negara.”

Trump, yang sebelum ini mencetuskan kemarahan awal tahun ini apabila mencadangkan idea memindahkan rakyat Palestin dan mengambil alih Gaza untuk menjadikannya ‘Riviera Timur Tengah’, berkata terdapat “kerjasama hebat” daripada “negara-negara sekitar” berhubung perkara itu.

“Jadi sesuatu yang baik akan berlaku,” tambahnya.

‘Resipi bencana’

Bagaimanapun, wartawan Al Jazeera, Hamdah Salhut, melaporkan dari Amman, Jordan bahawa pemindahan paksa itu adalah sesuatu yang telah lama disuarakan oleh Israel, dan mereka menyebutnya sebagai ‘migrasi sukarela’ rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Tetapi sememangnya, ini telah dikecam sebagai pembersihan etnik,” katanya.

Pakar undang-undang terkemuka, Ralph Wilde, berkata terdapat “peraturan jelas” dalam undang-undang antarabangsa yang melarang pemindahan paksa rakyat Palestin di dalam Gaza atau Tebing Barat yang diduduki, “bukan hanya pemindahan ke luar wilayah itu, tetapi juga pemindahan paksa di dalamnya.”

“Kita perlu bermula dengan melihat ketidakabsahan kehadiran Israel itu sendiri. Israel tidak mempunyai hak untuk berada di Gaza atau Tebing Barat, dan oleh itu segala tindakan Israel di sana – kerana kehadirannya haram – adalah turut dianggap haram, termasuk cara Israel memperlakukan rakyat Palestin sekarang serta pelaksanaan mana-mana rancangan pemindahan paksa sama ada dalam atau luar Gaza,” katanya kepada Al Jazeera.

“Tambahan pula, kerana ia adalah sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik yang disasarkan terhadap rakyat Palestin, ia juga merupakan jenayah terhadap kemanusiaan, dari segi tanggungjawab jenayah individu mahupun tanggungjawab negara,” tambahnya.

“Akhir sekali, ini juga merupakan satu genosid; ia adalah sebahagian daripada proses yang berterusan dengan niat untuk mengenakan keadaan hidup yang direka untuk memusnahkan rakyat Palestin, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian. Maka secara asasnya, ini adalah jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan jenayah genosid – baik pada peringkat jenayah individu mahupun tanggungjawab negara.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen