Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa berkata negara-negara anggota Brics akan dikenakan tarif 10 peratus terhadap import ke AS “dalam masa terdekat”.
Kenyataan itu mencetuskan satu lagi bantahan daripada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang baru sahaja menjadi tuan rumah sidang kemuncak tahunan blok itu.

Reuters melaporkan Trump, yang mula mengancam tarif itu pada Ahad, mengulangi kenyataannya pada mesyuarat Kabinet di Rumah Putih pada Selasa lalu.
“Mana-mana negara yang ada dalam Brics akan dikenakan caj 10 peratus tidak lama lagi...
“Kalau mereka ahli Brics, mereka perlu bayar tarif 10 peratus... dan mereka takkan kekal lama sebagai ahli,” katanya.
Brics ialah blok ekonomi pelbagai negara seperti Brazil, Rusia, India dan China.
Malaysia adalah negara rakan kumpulan ini.
Semalam, Trump, mengumumkan bahawa semua barangan import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos ini. Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.

Dakwanya, bahawa keputusan itu diambil bagi melindungi industri dalam negara itu daripada apa yang didakwa sebagai tindakan perdagangan yang tidak adil oleh beberapa buah negara.
“Kita tidak lagi boleh membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita.
“Bermula 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” kata Trump dalam surat rasmi yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan dengan dasar baharu ini. Beberapa negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan turut dikenakan tarif pada kadar yang sama, iaitu 25 peratus.
Sementara itu, kadar lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara lain: Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus), serta kadar tariff setinggi 40 peratus bagi Laos dan Myanmar.

Kumpulan Brics, ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2009, sebagai satu blok kerjasama ekonomi antara Brazil, Rusia, India, dan China. Afrika Selatan.
Antara tujuan penubuhannya adalah untuk menyaingi dominasi Barat, khususnya institusi kewangan yang dikuasai AS dan Eropah seperti Bank Dunia dan IMF. Ia juga bertujuan mengukuhkan kerjasama ekonomi dan politik antara negara-negara anggota serta membentuk sistem kewangan dan perdagangan yang lebih seimbang, tidak terlalu bergantung kepada dolar AS.
Tahun lalu keanggotaannya telah diperluas untuk turut merangkumi negara seperti Iran dan Indonesia.
Laporan Reuters menyebut Trump tidak memberikan tarikh khusus bila tarif tambahan untuk anggota negara-nega Brics akan dikuatkuasakan.

Pada Isnin, satu sumber yang mengetahui perkara itu berkata pentadbiran Trump hanya akan mengenakan tarif sekiranya sesebuah negara melaksanakan dasar yang dianggap anti-Amerika, membezakan antara tindakan dan kenyataan seperti yang dibuat oleh pemimpin Brics pada Ahad lalu.
Tanpa mengemukakan sebarang bukti, Trump pada Selasa mendakwa kumpulan Brics ditubuhkan untuk melemahkan AS dan peranan dolar negara itu sebagai mata wang rizab dunia. Dia menegaskan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.
“Brics ditubuhkan untuk merosakkan dolar kita dan menyingkirkan dolar... menyingkirkannya sebagai piawaian,” katanya.
“Tak mengapa kalau mereka nak main macam tu, tapi saya pun boleh main macam tu.”
Trump berkata kehilangan status dolar sebagai mata wang rizab dunia adalah seperti “kalah perang, perang dunia besar. Kita tidak akan jadi negara yang sama lagi.”


