malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lelaki Indonesia didakwa bunuh rakan senegara
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM
ADS

Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang bulan lepas.

Heriadi, 39, faham dengan pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Romario Jonoi dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Heriadi didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki dikenali sebagai Andi pada kira-kira 7 malam pada 22 Jun lepas di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang di Sibu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau jika tidak dikenakan hukuman mati, penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh direman lanjut sementara menunggu sebutan dan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi dan sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Ogos ini.

Sementara itu, di mahkamah yang sama Heriadi dan isterinya Keti, 36, turut didakwa secara bersama di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Pasangan itu didapati berada di tepi jalan di Jalan Teku Pasai-Siong di Sibu pada 9.50 malam pada 23 Jun lepas tanpa sebarang dokumen yang sah.

Kesalahan tersebut memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak melebihi enam sebatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes imigresen itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen