Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang baru, Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha untuk menangani isu sindiket melibatkan warga asing di KLIA.
Menurut Shuhaily, antaranya adalah dengan melihat aspek pengambilan dan penamatan kerja pekerja asing yang lebih ketat.
Namun, katanya lagi, ia perlu mendapat kelulusan daripada pihak pembuat dasar terlebih dahulu.
"Mungkin kita boleh lihat juga dari sudut skim pekerjaan itu sendiri untuk menjauhkan mereka daripada aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
"Kami sedang meneliti semua aspek, baik dari segi dasar, struktur, mahupun keperluan logistik.
"Ia kerja yang banyak. Saya hanya boleh katakan…banyak kerja pada masa ini," katanya ketika diminta mengulas bagaimana AKPS akan mengekang kegiatan sindiket dan penyeludupan di KLIA.

Shuhaily mengadakan lawatan sulungnya selaku Ketua Pengarah AKPS di KLIA, hari ini. Dia sebelum ini mengemudi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Malaysiakini sebelum ini menerbitkan siri artikel berhubung sindiket melibatkan warga asing dan penyeludupan melibatkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Antara sindiket yang berleluasa di pintu masuk utama negara itu adalah sindiket ‘Counter Setting’, 'Fly', 'Phantom Travels' dan penyeludupan hidupan liar ke luar negara.
Baca: Pegawai imigresen KLIA 'kantoi' selit 12 pasport di pinggang
Sementara itu, Shuhaily berkata fokus utamanya pada masa ini adalah menjadikan semua agensi di bawah AKPS sebagai satu pasukan yang kuat.
"Cabaran pertama saya ialah menyatukan kita sekeluarga dan menyemai budaya AKPS yang dituntut oleh kerajaan, iaitu kita perlu memastikan tiada lagi ketirisan dan kebocoran dalam urusan perdagangan mahupun kemasukan pendatang atau pelancong ke Malaysia.
“Justeru, hari ini kita turun untuk betul-betul melihat bagaimana kita boleh memperkasakan anak buah kita dalam konteks bukan sahaja kerja dan prosedur kerja, malah fasiliti," katanya lagi.
AKPS ditubuhkan selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada November 2018 membuat keputusan untuk membentuk jawatankuasa bagi mengkaji penubuhan badan tunggal bagi menjaga hal ehwal sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
AKPS ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 2024.

