Di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemungkinan terhakisnya kebebasan kehakiman, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan kehakiman serta peranan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC).
Namun, kenyataan AGC kelihatan bercanggah dengan pendirian umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaannya.
Pada 30 Jun lalu, Anwar menepis gesaan agar khidmat Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan selama enam bulan, berkata yang dia tidak masuk campur dalam kehakiman dan pelantikan perlu melalui proses yang betul.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kebanyakan hakim dibuat menerusi nasihat Perdana Menteri - dengan rundingan bersama Ketua Hakim Negara - kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun sejak 2009, pelantikan kehakiman sepatutnya dibuat berdasarkan syor daripada JAC, yang ditubuhkan susulan skandal VK Lingam pada 2007.
PM bukan sekadar ‘konduit’
Namun, AGC hari ini memberi gambaran bahawa kedudukan Perlembagaan adalah paling tinggi dan syor JAC boleh ditolak.
“Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“ Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman,” kata AGC dalam kenyataan, hari ini.

Selain bertentangan dengan kenyataan Anwar pada 30 Jun lalu, pendirian terkini AGC juga bertentangan dengan kenyataan Anwar dalam mempertahankan AGC pada April lalu.
Ketika itu, Anwar memberi respons terhadap satu tindakan undang-undang yang mencabar keperlembagaan JAC, dengan hujah bahawa pelantikan hakim hanya perlu mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Sementara kita akan mempertahankan undang-undang di mahkamah, kerajaan juga komited untuk melaksanakan semakan menyeluruh terhadap kerangka JAC,” katanya ketika itu.
Pendirian AGC hari ini juga bercanggah dengan hakikat yang majoriti ahli JAC adalah menerusi pelantikan Perdana Menteri, dan mempunyai kuasa penentu dalam soal pemilihan calon.
Kenyataan AGC tersebut bagi menjawab kebimbangan sekumpulan ahli Parlimen PKR, yang diketuai Rafizi Ramli, bahawa calon yang dicadang JAC ketika masih di bawah Tengku Maimun, telah diketepikan.
Wujud juga kebimbangan berkenaan seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa terlibat dalam campur tangan kehakiman berkemungkinan akan dilantik ke jawatan penting dalam badan kehakiman.
Rafizi menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas reformasi institusi Parlimen menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
‘Pelantikan kehakiman harus dipisahkan daripada PM’
Mengulas perkembangan terbaru ini, peguam Azira Aziz berkata akan wujud “konflik kepentingan” dan “dilema etika” jika kerajaan terlibat dalam proses pelantikan kehakiman.
Azira mengingatkan ramai ahli politik berdepan kes jenayah dan sivil - sama ada masih berjalan atau telah selesai - dan perdana menteri sendiri pernah disabit bersalah sebelum menerima pengampunan diraja.
“Memberi kuasa kepada seseorang (seperti Anwar) yang pernah melalui proses keadilan untuk menentukan ketua badan kehakiman hanya akan menimbulkan konflik kepentingan.
“Atas sebab ini, saya menyokong agar JAC diberi kuasa terus untuk mencalonkan jawatan tertinggi badan kehakiman kepada Agong, tanpa perlu melalui nasihat perdana menteri,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, peguam Andrew Khoo mengalu-alukan langkah Rafizi dan ahli Parlimen PKR yang lain untuk menggesa RCI ditubuhkan, namun mengingatkan ia boleh menjadi satu proses yang panjang.
Sementara itu, dia menggesa JAC agar turut tampil ke depan bagi “menjernihkan keadaan dan menghentikan spekulasi” berhubung kebimbangan dalam soal pelantikan dan dakwaan campur tangan kehakiman.
“Kita semua inginkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, jadi jika JAC dapat menimbang untuk melakukannya, ia akan membantu menyelesaikan keadaan,” katanya lagi.

