malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Badan Peguam umum perarakan ke PMO, desak RCI, dedah dokumen JAC
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 3:26 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Badan Peguam Malaysia akan mengadakan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum penting yang menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.

Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata perarakan bertemakan “Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” itu adalah manifestasi kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan, serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.

Mohamad Ezri Abdul Wahab

“Institusi kehakiman mesti dipertahankan. Perarakan ini bukan sekadar simbolik, ia menunjukkan iltizam Majlis Peguam terhadap integriti dan kebebasan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perarakan itu akan bermula jam 2 petang, pada Isnin depan bermula dari pintu masuk utama Istana Kehakiman yang menghadap Perbadanan Putrajaya, dengan destinasi akhir mereka di Pejabat Perdana Menteri. Anggota Majlis Peguam digalakkan hadir dalam pakaian rasmi guaman atau chambers attire.

Empat tuntutan memorandum

Dalam memorandum yang akan diserahkan, Ezri berkata, Majlis Peguam menuntut empat perkara utama.

Pelantikan segera jawatan tertinggi kehakiman dengan individu yang mempunyai integriti, pengalaman dan rekod penghakiman cemerlang serta dihormati oleh komuniti kehakiman dan rakyat.

Pendedahan serta-merta minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan siasatan segera terhadap dakwaan campur tangan yang telah dilaporkan media dan disebut dalam kenyataan Majlis Peguam pada 25 Jun lalu.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sama ada berlaku sebarang bentuk gangguan terhadap kebebasan kehakiman, sebagaimana dibangkitkan oleh bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam ucapan pembukaan Tahun Undang-Undang 2025.

Badan Peguam juga, katanya menuntut pengisian segera kekosongan jawatan hakim yang telah mengakibatkan beberapa kes hanya dijadualkan untuk perbicaraan pada tahun 2030, satu situasi yang disifatkan sebagai penafian keadilan serta petanda krisis sistem kehakiman negara.

“Kita sedang berdepan kelewatan yang boleh menyebabkan keadilan dinafikan, bukan sekadar ditangguh. Ini mesti ditangani segera sebelum menjadi krisis institusi,” kata Ezri.

Komitmen perundangan bukan retorik

Menurutnya, mandat perarakan ini bersandarkan resolusi Majlis Peguam yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-79 pada 15 Mac lalu yang memberikan kuasa kepada kepimpinan untuk bertindak demi mempertahankan integriti kehakiman.

Majlis Peguam turut menggesa semua ahlinya untuk bersama dalam perarakan tersebut, menunjukkan solidariti dan tekanan moral terhadap kerajaan agar bertindak atas isu-isu kritikal ini tanpa melengahkan masa.

“Ayuh kita berjalan bersama demi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara — bukan untuk mana-mana pihak, tetapi untuk rakyat dan kelangsungan keadilan,” kata Ezri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen