Selaras pelaksanaan persempadanan semula oleh kerajaan Sarawak yang akan menyaksikan tambahan 17 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai penerima gaji rakyat, maka representasi juga mesti diperbaiki sejajar dengan matlamat jangka panjang negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata seorang aktivis.
Peter John Jaban berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lebih besar itu seharusnya mencerminkan kepelbagaian kaum negeri itu serta menangani isu-isu tempatan.

"Persempadanan semula ini bukan sekadar perlu menjadi lebih besar, tetapi mesti menjadi lebih baik.
"Ia mesti melihat kepada cabaran dan isu yang sedang dihadapi rakyat, serta memberikan peluang terbaik kepada DUN untuk menanganinya.
"Rakyat mesti diwakili dalam DUN – itu satu-satunya tujuan dewan ini diwujudkan. Jadi, kita berharap untuk sebuah DUN yang majmuk, responsif dan relevan seperti yang kita semua berhak miliki untuk dekad akan datang," kata pengasas Saya Anak Sarawak itu dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa kerajaan Sarawak telah membentangkan Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025, yang mencadangkan peningkatan jumlah wakil rakyat daripada 82 kepada 99 orang.
Rang undang-undang itu, yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, bertujuan mencerminkan perubahan demografi, peluasan kawasan bandar, serta keperluan untuk representasi yang lebih adil di peringkat negeri.
Abdul Karim turut menyatakan bahawa komposisi baharu itu, setelah diluluskan dan diwartakan, akan dikuatkuasakan sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Dia juga berkata pindaan tersebut akan memansuhkan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2014 (Cap 70) yang menetapkan bilangan kerusi pada 82.
Dalam kenyataannya, Jaban menegaskan bahawa jumlah pengundi dan dinamikanya telah berubah dengan peningkatan penghijrahan ke kawasan bandar.
"Kita tidak lagi hidup dalam zaman di mana kebanyakan masyarakat Dayak tinggal di komuniti warisan tradisional mereka. Kini, penghijrahan besar-besaran dari luar bandar ke bandar telah berlaku – ada yang secara pilihan, ada juga kerana terpaksa.
"Sesetengah anggaran menyatakan bahawa Sarawak kini telah mencapai kadar urbanisasi sebanyak 65 peratus, dan majoriti penghijrah ini adalah masyarakat Dayak.
"Landskap pengundi, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, kini semakin kompleks dan tidak lagi dapat disokong oleh sistem berasaskan kaum yang lapuk dari sedekad lalu," tambahnya.
Selain itu, dia menggesa parti-parti dalam kerajaan negeri untuk mewakili masyarakat di kawasan mereka dengan lebih adil dan bertanggungjawab.
John juga berharap agar persempadanan semula ini benar-benar memenuhi keperluan komuniti luar bandar.

"Kini kita melihat isu-isu baharu abad ke-21 yang memberi kesan kepada rakyat Sarawak biasa – kekurangan infrastruktur, kemiskinan bandar, kesalinghubungan luar bandar yang lemah, kehilangan budaya dan komuniti.
"Inilah isu-isu yang mesti ditangani oleh wakil rakyat baharu kita, dan persempadanan ini mesti membolehkan mereka berbuat demikian tanpa pengaruh politik atau perkauman," katanya.
Sementara itu, semalam wakil DAP bagi kawasan Pending, Violet Yong, menuduh kerajaan negeri Sarawak melakukan gerrymandering (persempadanan berat sebelah).
Menurut The Borneo Post, ketika membahaskan pindaan rang undang-undang itu, Yong menyifatkan langkah tersebut sebagai "bukan sahaja tidak tepat pada masanya, malah tidak adil, tidak perlu dan bermotifkan politik."
Dia berkata, langkah itu mengalih perhatian daripada isu-isu utama rakyat seperti kemiskinan, kos sara hidup yang tinggi, infrastruktur yang lemah dan kekurangan kemudahan asas.

