malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas runding tarif naik, MP sindir menteri joging depan Rumah Putih
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 1:38 PM
Dikemaskini: 5:43 AM
ADS

Anggota Parlimen Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengkritik kerajaan kerana gagal menghalang kenaikan tarif terbaru Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia.  

Wakil rakyat Tasek Gelugor itu menuntut penjelasan segera, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai kegagalan diplomasi dan rundingan.  

“Kerajaan perlu segera jelaskan kenapa rundingan yang dilakukan oleh kerajaan gagal menurunkan kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika, sebaliknya kadar itu naik selepas rundingan,” katanya.  

Dengan juga menyindir status media sosial Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, yang berjoging berhampiran Rumah Putih.

“Bangga tayang gambar berjoging depan Rumah Putih tetapi kerja hakiki gagal,” tambahnya.  

Wan Saiful juga membangkitkan kebimbangan sama ada wang pembayar cukai digunakan secara bijak dan menggesa kerajaan membentangkan laporan terperinci mengenai proses rundingan serta kesannya terhadap pengeksport Malaysia.  

Dalam catatan media sosial itu, Tengku Zafrul berjenaka: “Helooooo... President Trump ada kat rumah tak? Kami datang nak ziarah ni,” tulisnya.

Semakan hari ini mendapati gambar dan status itu bagaimanapun tiada lagi di Facebook Zafrul.

Dia berkata walaupun delegasi Malaysia tidak bertemu presiden AS, perbincangan mengenai tarif diadakan dengan pegawai Amerika.  

Malaysia berunding dengan AS sejak April untuk mengurangkan tarif 24 peratus. Pusingan terbaru rundingan berlangsung pada 18 Jun.  

Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan hari ini bahawa Washington kini mengenakan tarif rata 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang masuk ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos — satu peratus lebih tinggi daripada kadar sebelumnya dan berasingan daripada semua tarif sektor.  

Dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan pada Isnin di akaun Truth Social, Presiden AS Donald Trump berkata:  

"Angka 25 peratus itu jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan defisit perdagangan yang kami alami dengan negara anda."  

Kenaikan tarif ini sebahagian daripada "rejim tarif timbal balik" baru AS yang bertujuan membetulkan ketidakseimbangan perdagangan yang dianggap berlarutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen