malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Nama Zahid rosak kerana pertahankan Umno’
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 11:09 AM
Dikemaskini: 3:09 AM
ADS

Exco Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil mempertahankan bapanya, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno daripada tuduhan sebagai punca kerosakan parti keramat itu.

Sebaliknya, dia menyifatkan bapanya menjadi mangsa kecaman kerana berpegang teguh pada prinsip dan kesetiaan terhadap perjuangan parti.

“Zahid Hamidi bukanlah individu yang merosakkan Umno tetapi individu yang bernama Zahid Hamidi rosak namanya kerana mempertahankan Umno.

“Dia tidak tunduk kepada ugutan oleh (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Umno, yang pada ketika itu menjadi PM buat kali ke-2 selepas kekalahan besar BN pada PRU14,” katanya dalam satu hantaran di sosial media, hari ini.

Mengulas polemik dalaman dan serangan bertali arus terhadap presiden Umno, Nurulhidayah, berkata, Melayu dan Islam sebenarnya tidak pernah terancam di negara ini tetapi sebaliknya, musuh sebenar mereka ialah perpecahan sesama sendiri.

“Kita memimpin kerajaan dengan maruah, memastikan keharmonian terjaga, kestabilan dikekalkan, dan masa depan generasi akan datang terjamin.

“Bila kita berpecah, bila kita sibuk menjatuhkan sesama kita, bila kita lupa nilai persaudaraan dan perjuangan, ketika itulah kita benar-benar terancam,” katanya.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, dan kedudukan Raja-Raja Melayu — yang tidak boleh diubah tanpa persetujuan dua pertiga Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu, Nurulhidayah menolak dakwaan kononnya penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan hari ini melemahkan suara Melayu-Islam.

“BN, khususnya Umno, tidak berada dalam kerajaan untuk menyerah kalah. Kita berada di sana untuk pastikan suara Melayu dan Islam terus bergema dalam dasar dan keputusan,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa presiden Umno memegang jawatan penting sebagai timbalan perdana menteri (I) dan pengerusi kepada 29 jawatankuasa Kabinet — peranan yang besar dalam menentukan hala tuju kementerian, termasuk agenda Melayu dan Islam seperti Dasar Tahfiz Negara dan Dasar TVET Negara.

Nurulhidayah memetik pandangan aktivis politik Wan Mahussin Wan Zain yang menyatakan bahawa Zahid Hamidi bukanlah perosak Umno, tetapi sebaliknya menjadi sasaran kerana tidak tunduk kepada tekanan dan ugutan ketika Umno berdepan ancaman pembubaran selepas kekalahan PRU14.

“Zahid Hamidi bukan maksum, jauh dari sempurna. Tapi dia tidak pernah lari dari tanggungjawab sebagai presiden Umno. Saat difitnah, dia tidak menjauh. Saat diasak, dia tetap teguh,” katanya.

Tambahnya, politik bukan sekadar soal jawatan, tetapi tentang cinta, amanah dan kesetiaan terhadap perjuangan.

Kenyataan Nurulhidayah itu dilihat sebagai reaksi terhadap dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Zahid menjadi punca kelemahan Umno, selain memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan campuran selepas PRU15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen