malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Ada apa dengan propaganda Zohran Mamdani?
ADS

ULASAN | Kemenangan Zohran Mamdani dalam pemilihan peringkat Parti Demokrat bagi jawatan Datuk Bandar New York, Amerika Syarikat bagi 2025 baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam arena politik Amerika. 

Pada usia 33 tahun, sosok progresif ini berjaya mengalahkan nama besar seperti Andrew Cuomo dan kini bakal berentap di pentas pilihan raya umum menentang calon Republikan dan bebas. 

Persoalannya, apakah kemenangan ini perkara yang luar biasa? Apakah elemen propaganda yang dimain? Bagaimana seni dan budaya menjadi alat untuk mencipta pengaruh? Tulisan ini cuba untuk menghuraikan persoalan-persoalan ini.

Zohran Mamdani merupakan anak imigran dari India yang dilahirkan di Uganda dan kemudian dibesarkan di New York. Dia adalah hasil daripada politik akar umbi selama hampir satu dekad di Queens, salah satu daerah paling pelbagai di Amerika Syarikat. Latar belakangnya sebagai anak kepada penyair Uganda-India, imigran dan Muslim menjadikannya sosok yang berada di luar kerangka elit kulit putih Protestan Anglo-Saxon (WASP) yang secara tradisi mendominasi politik New York.

Ramai yang melihat keputusan pemilihan itu sebagai luar biasa. Ini kerana dia seorang anak muda Muslim, berketurunan Afrika dan Asia Selatan yang membina nama dan berjaya menumbangkan nama besar seperti Andrew Cuomo, bekas Gabenor New York yang suatu ketika dahulu disebut-sebut sebagai calon Presiden Amerika Syarikat. 

Namun, jika keputusan itu dilihat dari sudut yang lebih tajam dan bersandar pada dinamika perubahan politik semasa, kejayaan Mamdani sebenarnya bukan satu keajaiban. Ia adalah hasil daripada strategi yang tepat, kempen yang terancang dan keberanian membawa harapan baru kepada kota yang sedang bergelut dengan tekanan hidup.

Zohran Mamdani mewakili sesuatu yang benar-benar segar dalam politik Amerika. Dia tidak menyembunyikan identitinya. Dalam sejarah Kota New York yang sarat dengan dominasi pemimpin kulit putih atau Latin, kehadiran Mamdani di pentas tertinggi politik bandar raya itu merupakan pencapaian yang simbolik dan struktural. Ia mencerminkan pergeseran dalam struktur perwakilan kuasa. Bukan hanya dari segi warna kulit dan agama, tetapi dari segi nilai dan arah perjuangan politik.

Mamdani membuktikan bahawa kekuatan nama Andrew Cuomo tidak dapat menyaingi kekuatan naratifnya. Dia bukan sekadar menang, tetapi menang dengan pendekatan politik yang sangat berbeza dengan menjanjikan naratif pengangkutan awam percuma, pembekuan sewa dan program penjagaan kanak-kanak universal. 

Andrew Cuomo dan Zohran Mamdani

Dalam sistem politik yang semakin terikat kepada kepentingan korporat dan parti, keberanian Mamdani meletakkan keperluan rakyat marhaen di tengah naratifnya telah memberi kesan besar kepada pengundi, terutama golongan muda dan komuniti minoriti.

Sungguhpun pencapaian ini luar biasa, ia tidak berlaku secara mengejut atau tanpa sebab. Realitinya, Mamdani hanya berjaya kerana dia berjaya membaca arah perubahan yang sedang berlaku dalam landskap politik New York. 

Selepas era pandemik dan tekanan ekonomi yang berpanjangan, kota itu sedang mengalami transformasi demografi dan psikologi. Ramai rakyat New York hari ini berasa kecewa dan muak dengan pemimpin lama yang gagal memberikan respons kepada krisis dengan empati dan tindakan. 

Dalam kekosongan itulah, Mamdani muncul sebagai suara yang tidak hanya menawarkan penyelesaian praktikal, malah harapan bahawa politik boleh kembali menjadi alat untuk membela manusia.

Apa yang paling membezakan Mamdani ialah hubungannya dengan generasi muda. Dalam suasana politik yang semakin terputus daripada rakyat, Mamdani hadir sebagai figura yang autentik. Dia tidak berbicara dari menara gading tetapi dari stesen subway, kedai runcit komuniti dan media sosial. 

Dia faham denyut nadi pengundi muda yang sedang bergelut dengan sistem ekonomi yang menekan dan dia mengangkat isu-isu mereka dengan bahasa yang mereka fahami dan percayai. Naratif Mamdani tidak menakutkan tetapi membina. Inilah yang menjadi kekuatan terbesarnya.

Asas kepada propaganda politik Mamdani ialah kejelasan naratif. Kempen Mamdani memberi tumpuan kepada keperluan paling asas iaitu kehidupan yang mampu milik. 

Dia tidak bercakap dalam bahasa elit atau makroekonomi, sebaliknya dalam bahasa manusia biasa iaitu tambang percuma untuk metro dan bas, pembekuan sewa perumahan agar tidak terus meningkat, penjagaan kanak-kanak universal yang membolehkan ibu bapa bekerja dan penubuhan kedai makanan awam untuk menurunkan kos sara hidup. 

Video-video dimuat naik di media sosialnya tidak dirakam dalam studio mahal, tetapi dalam suasana komuniti dengan naratif organik yang disebarkan melalui TikTok, Instagram dan saluran media komuniti. Kaedah ini membina empati dan bukan sekadar sokongan. Ia menjadikan dasar itu bukan hanya boleh dipercayai tetapi boleh dirasai.

Namun naratif sahaja tidak cukup jika ia tidak disampaikan dengan pendekatan komunikasi yang menyentuh. Mamdani dan pasukannya membina kempen yang berakar dalam cerita sebenar rakyat. 

Mereka tidak menampilkan slogan kosong tetapi menzahirkan dasar dalam bentuk wajah, suara dan kisah manusia. Seorang pemandu teksi yang telah berjuang membayar sewa, seorang ibu tunggal yang terpaksa memilih antara kerja atau menjaga anak, seorang pelajar imigran yang bergelut dengan hutang pendidikan. 

Semua ini menjadi watak dalam cerita yang membawa dasar Mamdani ke ruang emosi pengundi. 

Satu lagi elemen penting dalam strategi Mamdani ialah kesedaran simbolik terhadap identitinya sendiri. Dalam iklim politik Amerika yang sering menjadikan identiti Muslim, imigran dan sosialis sebagai sasaran serangan, Mamdani memilih untuk tidak menyembunyikan siapa dirinya. 

Dia mengangkat identitinya sebagai Muslim dan imigran bukan untuk meraih simpati tetapi untuk menunjukkan bahawa politik boleh dan harus mewakili seluruh spektrum warga kota. 

Apa yang dilakukan Mamdani sebenarnya bukan sekadar meraih kemenangan dalam satu pilihan raya. Dia sedang membina semula definisi propaganda politik daripada alat manipulasi kepada alat penciptaan harapan. 

Dia membuktikan bahawa propaganda tidak perlu bersifat menekan, menghukum atau memperbodohkan, tetapi boleh menjadi jambatan antara dasar yang baik dan kehidupan sebenar rakyat. 

Dalam dunia di mana politik sering kali dilihat sinis dan terasing, Mamdani mencetuskan semula kepercayaan bahawa politik masih boleh menjadi jalan untuk membina dunia yang lebih adil, jika ia dilakukan dengan hati, strategi dan keikhlasan.

Dalam kempen yang dijalankan oleh Mamdani, kita tidak melihat tanda-tanda propaganda klasik ala Joseph Goebbels. Tiadanya slogan besar-besaran, tiada musuh bersama yang dikutuk secara terang-terangan dan tiada dominasi media arus perdana secara total. 

Sebaliknya apa yang muncul ialah sejenis propaganda baru yang bersifat lembut, halus, modular dan beremosi. Propagandanya juga menggunakan seni, muzik, cerita komuniti dan estetika budaya sebagai alat penyusunan makna politik.

Kempen Mamdani tidak bermula di meja strategi birokratik sebaliknya tercetus dari kisah kehidupan sebenar rakyat. Ia bermula dari kesusahan membayar tambang kereta api, rasa terpinggir sebagai imigran dan ketakutan yang diserap melalui diskriminasi sistemik. Maka tidak hairanlah jika kempennya dipenuhi dengan aktiviti seni komuniti, malam puisi terbuka, mural visual yang menggambarkan mimpi kota raya dan video TikTok yang membawa suara peniaga jalanan dan pelajar dengan komitmen hutang.

Semua ini bukan sekadar hiasan kempen tetapi adalah naratif propaganda dalam bentuk budaya.

Tradisi propaganda klasik, seperti diasaskan oleh Goebbels, menekankan penyeragaman emosi. Propaganda seumpama itu mahu seluruh masyarakat merasai perkara yang sama, sama ada kebencian terhadap musuh atau kebanggaan terhadap pemimpin. Ia bersifat vertikal, datang dari atas dan satu hala. 

Sebaliknya Mamdani menggunakan pendekatan horizontal. Dia tidak menyampaikan satu mesej kepada semua pihak sebaliknya membina mesej-mesej mikro berdasarkan budaya dan latar komuniti yang berbeza. 

Untuk masyarakat Latin, dia menggunakan naratif pengusiran rumah dan ekonomi keluarga yang disampaikan dalam bahasa Sepanyol melalui visual gaya mural Chicano. 

Bagi komuniti Muslim Asia Selatan pula, Mamdani menggunakan naratif diskriminasi agama yang disampaikan dalam bahasa Urdu dan Bengali melalui video pendek dengan muzik latar bersifat emosional. Untuk menarik tumpuan belia bandar, dia menyampaikan mesej kos sara hidup dan krisis perumahan melalui TikTok yang menyerupai drama indie dengan gaya estetik dokumentari.

Melalui pendekatan tersebut, Mamdani tidak menampilkan dirinya sebagai wira tunggal tetapi sebagai pencetus ruang. Dia tidak mengarah sebaliknya mencipta ruang untuk perasaan, perbualan dan penglibatan. 

Dalam kerangka itu, seni dan budaya bukan sekadar medium komunikasi tetapi instrumen kuasa yang sangat dalam kerana ia menyusup ke dalam cara orang ramai melihat diri dan dunia mereka tanpa disedari.

Apa yang menjadikan kempen Mamdani menonjol bukan sahaja kreativiti visual atau keragaman bahasanya tetapi keupayaannya untuk mengubah pengundi daripada penonton menjadi peserta. 

Dia tidak memerlukan tokoh selebriti untuk menaikkan imejnya kerana seni itu sendiri menjadi selebriti dan dan rakyat menjadi penciptanya. Mural yang dilukis bukan sekadar seni jalanan tetapi pernyataan kolektif tentang harapan. 

Persembahan puisi pula tidak ditampilkan sekadar hiburan sebaliknya menyediakan ruang emosi, di mana dasar sosial dijelaskan dalam bahasa yang hidup. Ia adalah politik yang dibentuk oleh pengalaman dan bukan oleh jurubicara teknokrat.

Kempen seperti ini memberi isyarat bahawa masa depan propaganda politik bukanlah dalam bentuk penguasaan maklumat atau pengulangan slogan tetapi dalam penciptaan pengalaman budaya yang memberikan sentuhan. 

Dalam dunia pascakebenaran, fakta sahaja tidak mencukupi. Ia mesti diikat dengan rasa. Propaganda Mamdani membuktikan bahawa politik menyentuh perasaan yang dibentuk melalui seni dan naratif budaya, lebih kuat berbanding data, lebih tahan daripada retorik dan lebih sukar ditumbangkan oleh kempen lawan.

Dalam konteks Malaysia, pelajaran ini sangat relevan. Kita sering melihat seni dan hiburan sebagai tambahan kosmetik dalam politik, sesuatu yang dipanggil hanya untuk memeriahkan majlis dan bukannya sebagai strategi membentuk kesedaran. 

Namun kita lupa bahawa Malaysia memiliki kekayaan seni yang boleh menjadi alat propaganda aspiratif yang sangat kuat seperti dikir barat, seni mural kampung, pantun rakyat, muzik etnik dan budaya lisan yang luas. 

Jika politik progresif di Malaysia mahu menang, ia bukan sekadar dilihat dalam pilihan raya sebaliknya perlu menguasai imaginasi awam. Untuk itu, seni mesti dibebaskan daripada hanya berada di pinggiran dan diletakkan semula di tengah gelanggang.

Kemenangan Mamdani bukan hanya tentang seorang calon anak muda yang luar biasa. Ia adalah bukti bahawa seni, apabila digerakkan dengan niat politik yang jujur dan imaginatif, mampu menjadi landasan bagi perubahan struktural. 

Ia mengajar kita bahawa dalam dunia yang sedang mencari harapan baru, propaganda paling berkesan bukan yang paling kuat gegak gempita tetapi yang paling menyentuh hati dan rasa.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen