malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersatu Negeri Sembilan sokong Muhyiddin terus terajui parti
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 9:39 AM
Dikemaskini: 4:14 AM
ADS

Susulan usul Bersatu Bahagian Port Dickson yang mahu Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin menerajui parti itu, Badan Pimpinan Negeri (BPN) Negeri Sembilan pula tampil menyatakan sokongan penuh kepada Muhyiddin Yassin.

Menerusi satu kenyataan, Ketua BPN Negeri Sembilan, Anip Abu Baker, berkata sokongan diberikan buat presiden Bersatu itu untuk terus kekal menerajui kepemimpinan parti dan memimpin Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sokongan ini adalah sejajar dengan keputusan yang telah dipersetujui dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024, yang memperakui peranan penting Muhyiddin sebagai tokoh berwibawa, berpengalaman dan berintegriti dalam memperkukuhkan hala tuju perjuangan parti dan gabungan.

"Melalui PAT itu, ia mengakui peranan penting Muhyiddin sebagai tokoh berwibawa, berpengalaman dan berintegriti dalam memperkukuhkan hala tuju perjuangan parti dan gabungan," katanya.

Terdahulu media melaporkan Bersatu Port Dickson meluluskan usul untuk Muhyiddin dilantik sebagai penasihat PN dan memperkukuhkan kerjasama dalam gabungan berkenaan bagi menghadapi PRU akan datang.

Tugas kepimpinan sebagai presiden pula, menurut pendapat bahagian tersebut – yang diketuai Badrul Hisham Shaharin – wajar diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

Badrul Hisham Shaharin

Bahagian Port Dickson juga meluluskan usul supaya parti memulakan peralihan kepemimpinan secara berperingkat dengan menjadikan Hamzah sebagai pemuka parti.

Badrul Hisham, berkata usul itu yang diterima sebulat suara turut turut mencadangkan supaya Hamzah diberi peranan penting dalam mengendalikan operasi parti.

Bagaimanapun, Pemuda Bersatu (Armada) menganggap usul diluluskan sebulat suara oleh salah satu bahagian parti itu di Negeri Sembilan berkaitan Muhyiddin itu tidak lebih daripada mahukan “publisiti murahan.”

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, mendakwa Muhyiddin yang juga presiden parti itu sebenarnya mendapat dukungan padu daripada semua peringat.

Harris Idaham Rashid

Mengulas isu yang sama, Anip berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk ahli parti mempertahankan kepemimpinan Muhyiddin dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam parti serta PN.

"Muhyiddin bukan sekadar seorang pemimpin namun beliau adalah simbol kestabilan, ketegasan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat.

"Bersatu Negeri Sembilan akan terus komited memacu perubahan, membina kekuatan dan menjulang harapan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata melalui maklumat tidak rasmi daripada bahagian di seluruh negara, majoriti ahli akar umbi menyokong penuh kepemimpinan Muhyiddin seperti diputuskan dalam PAT 2024 supaya bekas perdana menteri itu terus memimpin parti sehingga PRU16.

"Ibu pejabat parti dalam proses mengumpulkan semua usul daripada setiap Bahagian dan akan meneliti secara keseluruhan usul yang dibawa oleh setiap Bahagian di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen