Pemuda Bersatu (Armada) hari ini menganggap usul diluluskan sebulat suara oleh salah satu bahagian parti itu di Negeri Sembilan berkaitan Muhyiddin Yassin tidak lebih daripada mahukan “publisiti murahan.”
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, mendakwa Muhyiddin yang juga presiden parti itu sebenarnya mendapat dukungan padu daripada semua peringat.
Katanya Armada berpendirian tegas bahawa Muhyiddin adalah presiden parti yang mendapat mandat daripada seluruh akar umbi untuk mentadbir Bersatu sehingga habis penggalnya.
Sokongan terhadap Muhyiddin itu, kata Harris, memang tidak berbelah bahagi.
“Usul Bersatu Port Dickson langsung tidak mencerminkan pendapat akar umbi.
“Ia hanya mencari publisiti murahan semata-mata.
“Armada bertegas akan mempertahankan institusi presiden daripada ancaman luar mahupun dalam,” katanya dalam kenyataan awal malam ini.
Terdahulu media melaporkan Bersatu Port Dickson meluluskan usul untuk Muhyiddin dilantik sebagai penasihat PN dan memperkukuhkan kerjasama dalam gabungan berkenaan bagi menghadapi PRU akan datang.
Tugas kepimpinan sebagai presiden pula, menurut pendapat bahagian tersebut – yang diketuai Bardul Hisham Shaharin – wajar diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

