Persempadanan semula bahagian pilihan raya susulan pertambahan 17 kerusi baru di Sarawak adalah sepenuhnya tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya Gabungan Parti Sarawak (GPS), kerajaan negeri mahupun dewan undangan negeri (DUN) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan bagaimana kawasan baru itu akan dilakar semula.
“GPS, dewan yang mulia ini atau kerajaan negeri tidak mempunyai kata putus dalam persempadanan semula 17 kerusi baharu berkenaan kerana ia adalah hak prerogatif SPR sepenuhnya,” katanya dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 di Kuching hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada kebimbangan yang dibangkitkan pembangkang selepas RUU berkenaan diluluskan yang menyaksikan peningkatan jumlah Adun Sarawak daripada 82 kepada 99.
Abdul Karim berkata Adun juga diingatkan bahawa SPR merupakan sebuah badan bebas yang diberi mandat untuk memastikan pilihan raya dijalankan secara adil dan telus.
“Anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, maka badan itu bersifat berkecuali.
“Menuduh kerajaan negeri atau dewan ini melakukan persempadanan berat sebelah adalah tindakan yang menjejaskan integriti mereka yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“SPR yang akan melaksanakan proses ini,” katanya.
Pada sidang media kemudiannya Abdul Karim berkata kerajaan negeri akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR berhubung kelulusan RUU itu, namun tiada tempoh masa ditetapkan bagi badan terbabit menyelesaikan proses persempadanan semula.
“Bahagian itu adalah urusan SPR. Saya tidak mengetahui sebarang tempoh masa yang telah ditetapkan.
“Tugas kita hanya untuk memaklumkan bahawa DUN telah meluluskan RUU berkenaan dan kini terpulang kepada SPR untuk melaksanakannya,” katanya.
- Bernama

