Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, meskipun SRC International Sdn Bhd (SRC) ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat, namun hakikatnya syarikat itu digunakan bagi memanfaatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Peguam yang mewakili syarikat itu, Lim Chee Wee, berhujah SRC diperalat dan menjadi mangsa penipuan berskala besar dengan Najib sebagai penerima manfaat utamanya berbanding memenuhi tujuan asal ia ditubuhkan.
Dia berkata demikian pada pendengaran saman SRC yang menuntut ganti rugi ASD1.18 bilion daripada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
“Dana yang diseleweng melalui SRC adalah duit pencen daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) - atau KWAP - dan ketika SRC mengalami kerugian teruk sebanyak ASD1.18 bilion, defendan pertama secara peribadi menerima ASD120 juta dan RM42 juta menerusi akaunnya, yang merupakan subjek bagi saman berasingan.
“Beliau turut menggunakan peranannya sebagai pengarah bayangan syarikat itu dan mengawal lembaga pengarah menerusi resolusi pemegang saham dalam keputusan penting yang sepatutnya dibuat oleh Lembaga Pengarah SRC sendiri,” katanya ketika berhujah di hadapan hakim, Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Lim juga berkata sebagai pengarah bayangan SRC, Najib menandatangani resolusi pemegang saham untuk meluluskan dan memperoleh RM4 bilion pinjaman KWAP serta mengagihkan RM3.6 bilion daripadanya bagi tujuan yang tidak sah.
Perbicaraan bersambung esok.
Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baru, memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanahnya dan menuntut supaya dia membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Dia kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022. Susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM120 juta kepada RM50 juta pada 29 Jan 2024.
- Bernama

