malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pentadbir masjid jemput penceramah tiada tauliah akan diberhentikan
Diterbitkan:  Jul 7, 2025 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM
ADS

Pentadbir masjid di Selangor yang masih berdegil dan membenarkan individu tanpa tauliah menyampaikan ceramah atau mengajar bakal berdepan tindakan pemberhentian, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Mohammad Fahmi Ngah.

Katanya tindakan tegas itu diambil bagi memastikan kesucian dan integriti dakwah di Selangor kekal terjamin, selain memelihara akidah umat Islam.

"Pendekatan kerajaan negeri harus tegas, pihak pentadbiran masjid yang macam ini (menjemput penceramah tidak bertauliah) kita kena keluarkan (berhentikan).

"Kita ada model pengurusan masjid yang perlu diikuti untuk mengawal supaya tiada pelanggaran peraturan.

"Isunya ialah menjemput penceramah yang tidak bertauliah - memang tidak boleh dan kalau bagi juga masuk, pentadbir masjid itu perlu diberhentikan," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kes seorang penceramah bebas yang kini dalam siasatan pihak berkuasa ekoran terkait dengan penyebaran video hubungan intim bersama isteri-isterinya dan beberapa wanita lain.

Dia sebelum itu didakwa aktif menyampaikan ceramah agama di sekitar Selangor.

Pada 6 Julai lalu Majlis Agama Islam Selangor dalam kenyataan memaklumkan tauliah mengajar individu tersebut ditarik semula sejak 2022.

Dia juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada Sept 2024 kerana mengajar tanpa tauliah.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata sehingga kini sekurang-kurangnya 87 pentadbir masjid di Selangor telah diambil tindakan susulan aduan berkaitan salah laku pengurusan yang diterima.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen