Pemuda DAP Sarawak menggesa kerajaan persekutuan mengekalkan subsidi petrol RON95 di negeri itu, dengan alasan kekurangan infrastruktur pengangkutan awam menjadikan pemilikan kenderaan persendirian suatu keperluan bagi rakyat Sarawak.
Bendahari Pemuda DAP Sarawak, Wong King Yii berkata dasar rasionalisasi subsidi yang bakal dilaksanakan pada pertengahan 2025 perlu mengambil kira realiti dan keperluan unik di Sarawak.
“Di Lembah Klang, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membangunkan sistem pengangkutan awam seperti MRT dan LRT. Namun di Sarawak, tiada perkhidmatan kereta api dan perkhidmatan bas pula amat terhad.
“Bagi kebanyakan rakyat Sarawak, memiliki kereta bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Kenaikan harga petrol akan memberi kesan besar yang sukar dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 tahun lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan bermula pertengahan 2025.

Anwar sebelum ini menegaskan langkah itu tidak akan menjejaskan majoriti rakyat dan ia bertujuan memastikan subsidi hanya disalurkan kepada golongan memerlukan, bukan kepada warga asing atau golongan berpendapatan tinggi.
Langkah itu susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang bermula tahun ini.
Mengulas lanjut, Wong berkata sebagai negeri pengeluar minyak, Sarawak berhak menerima pulangan yang adil melalui subsidi bahan api.
“Tanah dan sumber asli Sarawak telah menyumbang besar kepada industri petroleum negara. Maka adalah wajar jika rakyat Sarawak terus mendapat akses kepada bahan api bersubsidi sebagai pulangan kepada sumbangan itu,” ujarnya.
Dia menolak pandangan bahawa langkah mengekalkan subsidi di Sarawak bermaksud memberi layanan istimewa kepada negeri itu.
“Setiap dasar nasional perlu mencerminkan perbezaan antara wilayah. Saya mendesak kerajaan agar reformasi subsidi tidak menindas rakyat biasa Sarawak,” tegasnya.
Wong turut menggesa kerajaan persekutuan berunding dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sebarang dasar berkaitan reformasi subsidi.

