Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menyambut baik gesaan dibuat sembilan wakil rakyat kerajaan yang hari ini mendesak agar suatu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti isu pelantikan hakim.
Menurut Kok suatu taklimat wajar dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan isu berkenaan secara menyeluruh buat blok kerajaan.
"Penting bagi kita untuk mengetahui sepenuhnya perkembangan dan pertimbangan mengenai isu ini," katanya, sambil menambah ketelusan mesti diutamakan demi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.
Kok juga mengalu-alukan kenyataan dibuat ahli parlimen PKR pagi tadi yang menyatakan harapan mereka untuk Anwar tampil dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai isu-isu mengenai pelantikan kehakiman.
Semasa sidang media bersama - yang dihadiri tujuh daripada sembilan wakil rakyat terbabit - pagi tadi, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membacakan kenyataan yang menuntut penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan baru-baru ini yang dikaitkan dengan fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Rafizi juga menafikan dia cuba untuk mendakwa Anwar campur tangan dalam pelantikan jawatan tertinggi institusi kehakiman di negara ini.
Perkembangan itu berlaku selepas pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Mohammed Hashim memanggil mesyuarat tergempar JAC pada 4 Julai lalu ekoran persaraan mandatori penyandang jawatan tersebut, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.
Kok berkata memang jarang ada ahli parlimen dalam kalangan penyokong kerajaan menyatakan kebimbangan orang ramai, apalagi peristiwa mereka menyokong pembentukan RCI.
Dia turut memuji integriti mereka dalam bersuara tetapi menunjukkan kegelisahan yang semakin meningkat mengenai sikap berdiam diri kerajaan mengenai pelantikan hakim.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Hayat, Dobby Chew, turut menyokong gesaan untuk RCI ditubuhkan.
Amir juga menyokong mereka yang mendesak siasatan dan prosiding dijalankan oleh PSC berkaitan.
Dia berkata syarat penamaan calon kehakiman baru boleh dibuat selepas tindakan di atas dilaksanakan.
Chew pula mengulas tentang kepentingan pengasingan kuasa serta peranan badan kehakiman sebagai mekanisme semak dan imbang dalam sesebuah negara.
“Kami juga menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan, termasuk pindaan perlembagaan yang akan memberikan JAC kuasa penuh untuk menyelia dan menentukan pemilihan hakim.
“Tambahan pula sangat penting untuk menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman bagi memastikan badan kehakiman yang bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Sekretariat Pertahankan Kehakiman melahirkan kebimbangan terhadap Hasnah memanggil mesyuarat tergempar JAC dengan mendakwa ini melanggar Seksyen 13 Akta JAC 2009, yang memerlukan notis 10 hari untuk suruhanjaya itu bermesyuarat.
Ia mempersoalkan sama ada Anwar menggunakan pengaruh ke atas pelantikan kehakiman.
JAC bertanggungjawab untuk mengesyorkan calon untuk pelantikan atau kenaikan pangkat ke mahkamah atasan - Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan mahkamah tinggi.

