Bekas menteri Rafizi Ramli hari ini menyatakan harapan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menerima sebarang permintaan untuk menghadapi cadangan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berhubung isu-isu mengenai pelantikan kehakiman.
Bercakap semasa sidang media dengan barisan enam lagi ahli parlimen PKR, Ahli Parlimen Pandan itu turut menafikan percubaan untuk mendakwa campur tangan Anwar dalam pelantikan tertinggi kehakiman.
"Sebab itu sebaiknya prosiding-prosiding ini berjalan seperti yang kami cadangkan.
"Di peringkat parlimen saya ingat perdana menteri tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya harap kalau PSSC reformasi institusi memanggil untuk jelaskan situasi sebenar, perdana menteri boleh hadir," kata bekas timbalan presiden PKR itu.
Dia sebelum itu membacakan kenyataan bersama sembilan ahli parlimen PKR yang menuntut prosiding PSC diketuai Ahli Parlimen Selayang William Leong, serta menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan baru-baru ini yang dikaitkan dengan fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ditanya sekali lagi sama ada dia merasakan Anwar cuba campur tangan dalam proses pelantikan kehakiman, Rafizi berkata, "ini soalan-soalan dari dua orang wartawan, trying to put words into our mouth."
"Tiada apa-apa yang didakwa di sini selain fakta (sedia ada)," katanya, sambil menambah bahawa cadangan untuk PSSC dan RCI bertujuan mendedahkan lebih banyak maklumat memandangkan hanya sedikit diketahui pada masa ini.
"Apa yang kami ingin katakan adalah, tak sepatutnya biarkan perkara ini tergantung tanpa jawapan. Sebab sudah ada maklumat di luar sana.
"Dan maklumat ini buat masa ini akan mengundang lebih banyak spekulasi. Spekulasi ini kalau tidak dijaga dengan baik akan beri kesan kepada pandangan rakyat dan pengamal undang-undang mengenai kebebasan kehakiman.
"Saya juga mahu tahu seperti anda. Saya mahu tahu ada campur tangan ke tidak? Saya mahu tahu apa yang berlaku. Tapi saya bukan di posisi untuk mendapatkan maklumat itu. Sebab itu jalan terbaik untuk menjelaskan keadaan adalah melalui RCI dan PSSC, dan apabila itu berlaku saya harap perdana menteri boleh hadir dan nafikan khabar angin dan kita bergerak ke depan," tegasnya.
Ahli Parlimen lain yang bersuara menyokong RCI termasuk Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Wong Chen berkata PSSC berfungsi sebagai platform dwipartisan untuk menangani isu berkaitan, manakala Nik Nazmi berkata peranan Anwar untuk menghadapi penelitian parlimen akan selari dengan komitmennya yang lain terhadap reformasi institusi.

