Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj), Rozaimi Ramle menafikan dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi berkenaan menamatkan kontrak 30 stafnya secara serentak tanpa sebarang notis awal
Sebaliknya, Rozaimi dalam satu kenyataan berkata penamatan kontrak hanya melibatkan beberapa staf dan ia berlaku secara teratur selepas kontrak kerja mereka tamat mengikut tempoh yang telah ditetapkan, dan bukanlah satu pemecatan mengejut seperti yang didakwa.
“Hakikat sebenar yang berlaku, kontrak mereka itu sudah tamat dan tidak disambung semula. Itu perkara sebenar yang terjadi. Staf berkenaan juga tahu sejak awal mereka melapor diri,” katanya.
Rozaimi berkata demikian mengulas pemberhentian mengejut staf kontrak Unisiraj.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seramai 30 kakitangan kontrak Unisiraj termasuk staf pentadbiran dan beberapa pensyarah didakwa diberhentikan secara serentak tanpa sebarang notis awal.
Ia sekali gus mencetuskan kegusaran dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi berkenaan.
Difahamkan pemberhentian tersebut dibuat pada 25 Jun lalu iaitu hanya beberapa hari sebelum tarikh kontrak mereka tamat secara rasmi iaitu pada 30 Jun.
Menurut sumber, kakitangan yang terlibat hanya mengetahui pemberhentian tersebut melalui e-mel yang berisi ucapan terima kasih pihak pengurusan dan tiada sebarang surat rasmi atau notis lanjutan kontrak.
Mengulas lanjut, Rozaimi menegaskan bahawa tiada mana-mana kakitangan yang dipecat secara tidak adil, malah penamatan kerja adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi yang mengamalkan sistem kontrak.
“Tidak ada mana-mana staf yang dipecat serta-merta. Kontrak mereka sudah tamat dan tidak disambung. Ini perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana organisasi,” katanya lagi.
Tambah Rozaimi, pihak UniSIRAJ akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan sebenar dan meredakan salah faham yang berlaku.
Sebagai peringatan kepada pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan fitnah, dia memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil.
“Bagi yang telah menulis fitnah, bersedialah ke mahkamah,” tegasnya.

