malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi mahu saya teruskan sebagai pengerusi PN - Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 6, 2025 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM
ADS

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menolak dakwaan bahawa PAS menyokong rancangan untuk melemahkan penguasaannya terhadap pakatan pembangkang.

Muhyiddin berkata dia mendapat sokongan PAS - termasuk presidennya Abdul Hadi Awang - untuk terus berkhidmat sebagai pengerusi PN.

“Dalam perjumpaan yang dilakukan antara Bersatu dan PAS untuk bincangkan isu PN beberapa bulan lepas, kenyataan yang dikeluarkan Hadi ialah menyokong saya sebagai Pengerusi PN.

"Saya nak pegang kepad siapa, awak (wartawan) punya cakap atau ketua-ketua parti PN? Itu setakat yang saya tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tahunan Bersatu Pagoh hari ini.

Bulan lalu Malaysiakini melaporkan bahawa PAS telah mencadangkan penstrukturan semula PN untuk memberikan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin - yang merupakan ketua pembangkang di Parlimen kuasa operasi yang besar.

Di bawah cadangan perubahan itu, sebuah jawatankuasa eksekutif yang diterajui oleh Hamzah akan dibentuk untuk mengawasi operasi PN, manakala presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia akan mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.

Menurut sumber, langkah itu direka untuk meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN, bersedia untuk mengambil tampuk pemerintahan jika gabungan itu menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan rancangan sedemikian sedang dilakukan.

Mengulas lanjut mengenai keyakinan PAS terhadapnya, Muhyiddin berkata dia sebenarnya telah menawarkan PAS untuk memegang tampuk kepimpinan PN sebagai sebahagian daripada penggiliran dalam kepimpinan.

"Saya kata eloklah PAS ambil alih, gilir-gilirlah supaya PAS jadi pengerusi PN.

"(Isu) tokoh PAS nak jadi perdana menteri tu, tak apalah, kita bincang bersama. (Tapi) dia tak nak, dia kata tak boleh, Tan Sri (Muhyiddin) teruskan," kata presiden Bersatu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen