malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KKM akan perkemas proses lantikan ahli lembaga pelawat hospital
ADS

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan proses lantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) di seluruh negara akan disemak semula, kata Menterinya Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata ia juga akan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat selari dengan dasar kesihatan awam negara.

“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia mengulas mengenai pelantikan seorang individu sebagai ALPH Rembau yang dikatakan mempunyai elemen konflik kepentingan dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM, seperti yang tular baru-baru ini.

Dzulkefly berkata individu berkenaan tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau dan mengakui wujud kesilapan dalam proses tapisan berkaitan latar kerjaya calon yang dilantik itu.

“Saya akui kelemahan berkenaan telah memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap KKM,” katanya.

Dia berkata sebanyak 2,860 pencalonan diterima KKM daripada pelbagai pihak termasuk hospital, exco kesihatan negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.

Dzulkefly berkata setiap pencalonan yang diangkat kepadanya telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil negeri masing-masing. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen