malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemangku Ketua Hakim Negara panggil mesyuarat tergempar JAC - laporan
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM
ADS


Pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Hashim dilaporkan memanggil satu mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) hari ini.

Portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada jam tiga petang, walaupun Seksyen 13(2) Akta JAC 2009 menetapkan notis bertulis sekurang-kurangnya 10 hari perlu diberikan kepada ahli suruhanjaya sebelum mesyuarat diadakan.

Hasnah yang secara rasmi mula memangku jawatan Ketua Hakim Negara semalam, mengetuai JAC berdasarkan kedudukannya sebagai hakim tertinggi di Malaysia.

“Tujuan mesyuarat tergempar ini masih tidak jelas,” kata sumber seperti dipetik Free Malaysia Today.

Menurut Seksyen 13(4) dan 13(5) Akta JAC, kuorum mesyuarat ialah tujuh orang ahli, namun boleh dikurangkan kepada lima sekiranya ada ahli yang hilang kelayakan.

Selepas persaraan wajib Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara dan Abang Iskandar Abang Hashim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan awal minggu ini, suruhanjaya itu kini hanya ada tujuh orang ahli.

Hasnah selaku Hakim Besar Malaya dan Abdul Rahman Sebli sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah ahli JAC berdasarkan jawatan kehakiman mereka.

Ahli JAC lain termasuk bekas Peguam Negara Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali; bekas Peguam Besar Negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid; dan Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara Hartini Saripan – kesemuanya dilantik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

Pada Mac lalu, Anwar turut melantik Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof sebagai ahli JAC.

Peranan JAC

JAC bertanggungjawab mencadangkan calon untuk pelantikan atau kenaikan pangkat ke mahkamah yang lebih tinggi – iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Menurut Free Malaysia Today, sumber memaklumkan bahawa senarai calon untuk jawatan kehakiman tertinggi – termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak – telah pun diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri semasa Tengku Maimun masih Ketua Hakim Negara.

Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan ke jawatan-jawatan tersebut dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang seterusnya dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen