Bekas Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago menggesa kerajaan agar menghentikan penggunaan memorandum persefahaman (MoU) dalam perjanjian pengambilan pekerja dengan Bangladesh.
Dalam satu kenyataan, dia mendakwa MoU yang dimeterai antara Malaysia dan Bangladesh pada masa ini memiliki kelemahan dan menyebabkan sindiket pemerdagangan mengeksploitasi pekerja warga asing.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata Malaysia perlu ada perjanjian buruh dua hala yang mengikat bagi melindungi kebajikan pekerja migran.
“Kartel pengambilan pekerja untung kerana MoU tidak mempunyai kuasa. Tiada denda. Tiada pembatalan lesen. Tiada saluran pembelaan untuk pekerja yang dipaksa bekerja dalam keadaan seperti hamba.
"Perjanjian yang mengikat bermakna ada hukuman jelas, urusan yang telus, dan pekerja tidak perlu bayar apa-apa.
"Bangladesh dan Malaysia perlu sedar. Tanpa perjanjian seperti ini, sindiket akan terus memperdagangkan pekerja, industri akan menanggung kerugian, dan Malaysia akan terus malu di mata dunia.
"Sudah tiba masanya untuk hapuskan kartel dan hentikan perhambaan moden buat selama-lamanya,” katanya.
Menurut Charles, pekerja Bangladesh terpaksa membayar antara RM20,000 hingga RM30,000 setiap seorang bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
Katanya, ini menyebabkan mereka menanggung hutang meskipun sebelum pun menjejakkan kaki ke Malaysia.
Dia turut menegaskan bahawa skandal buruh paksa menyebabkan banyak syarikat Malaysia berdepan tindakan undang-undang antarabangsa, termasuk larangan import dari Amerika Syarikat dan denda daripada Kesatuan Eropah.
"Malaysia perlu jelaskan sama ada ia enggan berunding bagi menandatangani perjanjian buruh baharu yang lebih terbuka dan telus dengan Bangladesh.
"Kerajaan bertanggungjawab kepada pekerja, majikan dan rakyat untuk menunjukkan kepimpinan sebenar dan membetulkan sistem rosak yang mendorong rasuah,”katanya.
Kenyataan Charles itu hadir susulan amaran daripada kerajaan Bangladesh bahawa ia mungkin membekukan pengambilan pekerja jika Malaysia enggan mengubah perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2021.

