malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JKM sedia jaga kanak-kanak mangsa rogol kekasih ibu
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM
ADS

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih penjagaan kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjadi mangsa rogol kepada teman lelaki ibunya pada pertengahan tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang mesti diberi perhatian serius.

"Sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan untuk menjaga mangsa, pihak JKM bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara bagi memastikan kebajikan dan keselamatan beliau terjamin.

"Selain perlindungan fizikal, mangsa juga berhak menerima sokongan psikososial yang sewajarnya bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental.

"Saya ingin mengajak masyarakat untuk terus peka terhadap isu penderaan kanak-kanak dan tidak berdiam diri apabila berlaku kejadian sedemikian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu hari ini, media melaporkan seorang penjual nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang kerana merogol anak teman wanita yang masih di bawah umur, tahun lalu.

Tertuduh, Azman Hasim, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Norshila Kamarudin, manakala teman wanitanya berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, mohon dibicarakan atas pertuduhan bersubahat.

Azman dituduh merogol kanak-kanak itu ketika mangsa berusia 12 tahun dan empat bulan, di sebuah rumah di Hulu Langat, kira-kira 4 petang, sekitar pertengahan tahun lalu.

Kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin, dengan berhujah kedua-duanya berkemungkinan mengganggu mangsa, yang merupakan anak kandung wanita berkenaan.

Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya akan terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen