malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hantar LOD ketika pejabat tutup, Zaharudin cuba cipta persepsi jahat - Sim
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM
ADS

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad datang menyerahkan surat tuntutan (LOD) ketika pusat khidmatnya ditutup dengan tujuan menimbulkan persepsi jahat.

Menurut Sim, pusat khidmatnya ditutup pada 3 Julai kerana semua kakitangan menghadiri upacara penghormatan terakhir untuk mendiang datuknya, dan perkara itu turut dimaklumkan lebih awal melalui notis yang ditampal di pintu utama pejabat.

"Saya sentiasa mengalu-alukan semua pihak yang nak melawat ke pejabat saya, tak kira kaum, agama, malah parti politik. Sebelum ini pun ada orang parti dia yang datang pohon bantuan dari pejabat saya.

"Tapi yang jadi tanda tanya ialah, pemimpin PAS itu kata dia telah mai (datang) dua kali hari tu, pada jam 3.30 dan 5.15 petang, namun pintu pejabat tak buka, seolah-olah nak cipta persepsi bahawa pusat khidmat saya tidak beroperasi.

"Sedangkan kami dah tampal notis terlebih dahulu memaklumkan bahawa pusat khidmat tutup pada 3 Julai. Malah ada 4 nombor telefon terpapar kat notis jika ada apa-apa isu kecemasan.

"Justeru, tindakan pemimpin PAS itu adalah sama ada kerana dia tak tau baca bahasa Melayu ataupun memang sengaja nak cipta persepsi jahat," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Kata Sim, ini bukan kali pertama pemimpin PAS itu mencipta persepsi yang bukan-bukan terhadap lawan politiknya.

"Sebelum ini dia telah memuat naik gambar pelantikan Leftenan Jeneral Johnny Lim dan membuat provokasi perkauman konon satu hari nanti mungkin orang Cina akan jadi Perdana Menteri Malaysia,” kata ahli parlimen Bukit Mertajam itu.

Dalam pada itu Sim turut menyatakan kesediaan untuk berdepan tindakan undang-undang daripada Zaharuddin. Malah dia turut mencipta serangkap pantun yang ditujukan kepada menantu presiden PAS itu.

Adat berkunjung, harus memaklum,

Adat bertandang, elok dijemput;

Kilat bersabung, hujan pun belum,

Tuan memberi, saya menyahut.

"Jumpa kamu di mahkamah," tambah Sim yang juga timbalan setiausaha agung DAP.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Zaharudin memulakan tindakan undang-undangnya terhadap Sim berhubung dakwaan dia difitnah oleh pemimpin DAP berkenaan.

Menurut satu video pendek yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zaharudin menuntut permohonan maaf daripada Sim kerana menuduhnya menghina pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Video itu dirakam petang semalam ketika Zaharudin berkunjung ke pusat khidmat Sim di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menyerahkan LOD berkenaan..

Bagaimanapun, pejabat pusat khidmat Sim ditutup dan Zaharudin gagal menyerahkan surat berkenaan kepada pegawainya.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa pusat khidmat tersebut ditutup kerana kakitangannya menghadiri upacara pengebumian datuk Sim.

Sebelum ini Zaharudin menarik perhatian ramai dengan hantaran mengenai kemungkinan satu hari nanti orang Cina menjadi perdana menteri di negara ini.

Mengiringi hantaran tersebut – sebagai “gambar hiasan” – ialah majlis pemakaian pingat leftenan jeneral kepada pegawai kanan ATM, Johnny Lim Eng Seng.

Lim menjadi anggota ATM pertama dalam kalangan orang Cina diberikan pangkat tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen