Sekumpulan penduduk Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa menolak laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh pemaju bagi projek pemulihan dan penambakan tanah, Tapak Pelupusan Jelutong.
Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Bertindak Lindungi Persiaran Karpal Singh mendakwa laporan tersebut mengandungi kelemahan serius dan maklumat mengelirukan berhubung tahap pencemaran yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan penduduk serta alam sekitar.
Menurut jurucakap jawatankuasa itu, Dr K Ganesh, laporan berkenaan mengabaikan penilaian impak kesihatan terhadap operasi kitar semula sisa secara terbuka yang dicadangkan pemaju, yang terletak bersebelahan kawasan perumahan, sekolah dan taman rekreasi.
“Kegagalan pemaju memasukkan penilaian impak kesihatan bukan sekadar kelalaian – ia adalah pelanggaran langsung terhadap undang-undang alam sekitar Malaysia.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kuasa sah dan tanggungjawab perlembagaan untuk menolak cadangan yang tidak lengkap dan tidak mematuhi syarat ini,” katanya.
Pada Feb lalu, JAS menerbitkan laporan EIA untuk projek tersebut, yang bertujuan memulihkan tapak pelupusan sampah berusia 40 tahun dan membangunkan semula kawasan itu.
Kawasan projek itu meliputi 160 ekar (64.7 hektar) — terdiri daripada 90 ekar tapak pelupusan sedia ada dan 70 ekar melalui kerja penambakan laut, seperti dinyatakan dalam laporan EIA bertarikh 12 Feb yang dibuka untuk maklum balas orang ramai sehingga 22 Mac.
Dr Ganesh juga mendakwa laporan EIA gagal menyediakan pelan penutupan tapak pelupusan yang disahkan selamat, walaupun ia terletak berhampiran sekolah dan ribuan kediaman.
"Kaedah pembakaran terbuka serta pelepasan pasif gas dari tapak pelupusan secara terbuka adalah tidak memadai untuk memastikan proses pemulihan yang selamat, khususnya bagi tapak pelupusan seluas 90 ekar di kawasan bandar.
"Operasi kitar semula sisa secara terbuka dan penggunaan sisa dari tapak pelupusan bagi tujuan penambakan, tanpa pelan penutupan yang selamat serta pengurusan jangka panjang, hanya akan memburukkan lagi risiko pencemaran, pelepasan gas dan larut lesap (leachate),” katanya."
Jawatankuasa itu turut mendakwa tinjauan penilaian impak EIA telah secara sistematik mengecualikan penduduk dalam zon utama dan tidak mengadakan sebarang sesi libat urus dengan komuniti pangsapuri yang terjejas.
Mereka juga menyuarakan kebimbangan mengenai kesan projek terhadap Middle Bank, satu-satunya kawasan padang rumpai laut semula jadi yang masih wujud di Pulau Pinang dan habitat kepada lebih 400 spesies marin.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kebimbangan saintis terhadap kesan projek pemulihan itu terhadap ekosistem marin di Selat Pulau Pinang.
Sebagai respons, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata cadangan penambakan di perairan berhampiran Persiaran Karpal Singh — sebahagian daripada projek pemulihan tersebut — tidak akan menjejaskan kawasan perlindungan marin Middle Bank.

