malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis antara agama persoal Anwar berkenaan lanjutan khidmat hakim
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 4:23 PM
Dikemaskini: 8:48 AM
ADS

Satu kumpulan antara agama mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah merujuk lanjutan tempoh perkhidmatan tiga hakim kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.  

Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) membangkitkan kenyataan Anwar sebelum ini bahawa prosedur mesti dipatuhi apabila hakim mencapai usia persaraan.  

Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, seperti yang disebut oleh perdana menteri, tidak mempunyai peranan dalam melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim.  

"Perdana menterilah yang mesti merujuk lanjutan perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong," kata MCCBCHST.

Majlis itu juga menambah, masih terdapat persoalan sama ada Anwar telah menyerahkan nama bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat, presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan untuk lanjutan enam bulan yang biasanya diberi kepada hakim yang bersara.  

Majlis itu menegaskan bahawa perdana menteri tidak boleh sekadar menggariskan prosedur tanpa mendedahkan sama ada dia telah membuat permohonan lanjutan dan apakah keputusan Agong.

MCCBCHST turut merayu agar penjelasan diberikan mengapa lanjutan tempoh perkhidmatan yang biasa tidak diberikan kepada tiga hakim berkenaan.

Semalam, pendaftar utama Mahkamah Persekutuan menamakan Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim sebagai pemangku Ketua Hakim Negara, yang kemudiannya pada pagi ini melantik Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen